STATO Pontianak Disasar Beroperasi Pertengahan 2027
KUCHING: Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATO) di Pontianak, Indonesia disasar mula beroperasi pada pertengahan tahun depan selepas proses pengubahsuaian bangunan dan kelulusan berkaitan selesai.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bangunan bagi menempatkan pejabat berkenaan telah dikenal pasti dan kini memerlukan kerja pengubahsuaian sebelum dapat digunakan.
“Sekarang ini kita telah pun mengenal pasti bangunan dan ia perlu dibuat pengubahsuaian dan sebagainya.
“Jadi, kita harap kita boleh mula beroperasi tahun depan, mungkin pertengahan tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Usahawan Mikro Kebajikan 2026 di Metrocity Event Centre, di sini, pada Ahad.
Menurut Datuk Amar Awang Tengah, pengoperasian pejabat berkenaan turut memerlukan kelulusan daripada Kerajaan Indonesia melalui kementerian berkaitan.
Katanya, Sarawak juga akan mengenal pasti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi menguruskan pejabat tersebut, selain memastikan penubuhan syarikat yang mengendalikan pejabat itu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan Kerajaan Indonesia.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, bangunan STATO di Abu Dhabi masih belum dikenal pasti dengan rundingan akan terus dilaksanakan untuk mengenal pasti bangunan yang sesuai. -EDISI UKAS