Kampung, Rumah Panjang Dipimpin Ketua Kaum Belum Bersijil Boleh Terima Peruntukan
PANTU: Kerajaan Sarawak bersetuju menyalurkan peruntukan kepada rumah panjang atau kampung yang dipimpin Ketua Kaum yang masih belum memperoleh sijil pelantikan sah, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, rumah panjang atau kampung berkenaan perlu memenuhi beberapa syarat bagi membolehkan peruntukan kerajaan disalurkan.
"Syarat pertama, rumah panjang atau kampung terbabit haruslah mempunyai seramai 20 penduduk dan ke atas atau sudah menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang sah.
"Jika syarat ini sudah ditepati maka mereka haruslah memohon sokongan daripada Pejabat Daerah dan layak membuka akaun bank bagi membolehkan Kerajaan Sarawak menyalur peruntukan kepada mereka," kata beliau.
Datuk Snowdan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Randau Ruai di Rumah James Kemendan, Sapak Atas Baru dekat sini pada Ahad.
Selain itu, beliau menekankan pentingnya jambatan antara wakil rakyat dan Ketua Kaum (Tuai Rumah atau Ketua Kampung) diperkukuh demi mempercepatkan proses pembangunan di bawah Kerajaan Sarawak.
"Tindakan Ketua Kaum yang sebelum ini sudah tersalah langkah dan kini sudah kembali ke pangkuan Kerajaan Sarawak harus dipuji kerana mereka sedar bahawa memajukam hidup rakyat perlu menjadi keutamaan berbanding kepentingan diri.
"Justeru, saya berharap agar Ketua Kaum ini dapat membuka babak baharu dalam hala tuju pembangunan kampung di samping memperkukuh hubungan bersama wakil rakyat Kerajaan Sarawak dari semasa ke semasa," kata beliau.
Datuk Snowdan pada majlis itu mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM15,000 kepada JKKK Sapak Atas Baru dan RM5,000 kepada biro wanita organisasi terbabit.
Hadir sama Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Pantu, Helen Maria Nelson Ugas, Penghulu Angin Ajie, Penghulu Johnny Lumie, Penghulu Judi Inau, Ketua-ketua Kaum dan penduduk. -Edisi UKAS