SIMUNJAN: Simunjan Youth Festival 2026 menjadi platform strategik untuk mencungkil bakat serta memperkasa penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan dan e-sukan, selain menggalakkan mereka memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan daerah.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, penganjuran program seumpama itu memberi ruang kepada belia untuk mengetengahkan kebolehan, menyumbang idea serta terlibat secara langsung dalam pelaksanaan aktiviti pembangunan di peringkat daerah.
“Belia pada hari ini adalah bakal pemimpin kita esok hari. Oleh itu, kita memberikan peluang dan ruang sepenuhnya untuk mereka bersama-sama menganjurkan program, memberi pandangan dan membangunkan daerah Simunjan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Simunjan Youth Festival 2026 di sini, pada Ahad.
Menurutnya, sambutan menggalakkan sepanjang festival termasuk penyertaan 22 agensi kerajaan dan swasta dalam pameran membuktikan penerimaan positif masyarakat terhadap program berteraskan pembangunan belia.
Malah, kehadiran pengunjung bukan sahaja dari Simunjan, tetapi turut melibatkan penduduk dari daerah berhampiran termasuk Asajaya, sekali gus memperlihatkan potensi festival berkenaan untuk diperluaskan pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Datuk Gerald berkata, e-sukan merupakan antara bidang yang semakin berkembang dan berpotensi membuka peluang serta pengalaman baharu kepada golongan muda.
Beliau turut menyentuh kejayaan atlet e-sukan Sarawak meraih pingat emas, selain menggalakkan belia menceburi acara e-racing seperti Gran Turismo sebagai platform membina kemahiran sebelum beralih kepada perlumbaan sebenar.
Menurutnya, potensi itu turut disokong dengan perancangan pembinaan trek perlumbaan motor di Gedong yang dijangka membuka ruang lebih luas kepada pembangunan sukan permotoran.
Dalam bidang keusahawanan, beliau menggesa golongan belia memanfaatkan pelbagai peluang dan inisiatif yang disediakan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), termasuk SarawakYouth Startup (SYStartUp) dan Youth Entrepreneurship Scheme (YES).
Tambahnya, penambahbaikan jaringan infrastruktur jalan raya di daerah itu bukan sahaja meningkatkan kemudahan perhubungan, malah berpotensi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan aktiviti perniagaan tempatan.
Simunjan Youth Festival 2026 yang berlangsung selama tiga hari turut diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan akhir Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), pertandingan memasak ‘Puding Wonderland: Seni & Kreatif’, autoshow serta pameran agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Turut hadir, isteri Datuk Gerald, Datin Rosemarie Wong Lu Yi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Desmond Douglas Jerukan, Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad, wakil MYSED, Nur Amirah Haidir, Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak, Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Batang Sadong, Idris Ibrahim. -EDISI UKAS