PAKAN: Penduduk Ulu Wak kini menikmati akses perhubungan yang lebih baik susulan siapnya dua jambatan baharu di Sungai Kawi dan Sungai Nansang dengan nilai keseluruhan kira-kira RM1.5 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, kedua-dua jambatan berkenaan dibina bagi menggantikan jambatan besi yang sebelum ini menjadi laluan utama penduduk di lokasi terbabit.
Menurutnya, pembinaan struktur baharu itu dilaksanakan menerusi projek MARRIS bagi meningkatkan keupayaan infrastruktur asas serta menyediakan laluan yang lebih sesuai untuk kegunaan masyarakat setempat.
Beliau yang juga Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) berkata, keadaan jambatan terdahulu memerlukan penambahbaikan bagi memastikan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna sentiasa terpelihara, khususnya bagi pergerakan harian penduduk.
“Penyediaan prasarana seperti ini amat penting bagi memastikan pergerakan penduduk dari satu kawasan ke kawasan lain dapat dilakukan dengan lebih lancar, termasuk bagi urusan seharian dan kegiatan ekonomi,” katanya ketika meninjau jambatan berkenaan, pada Ahad.
Kedua-dua jambatan kini siap sepenuhnya dan boleh digunakan, sekali gus memberikan laluan yang lebih kukuh serta selamat berbanding struktur besi yang digunakan sebelum ini.
Beliau berkata, penyediaan prasarana asas seperti jambatan, jalan raya dan laluan penghubung perlu diteruskan secara berperingkat bagi memenuhi keperluan masyarakat, khususnya di luar bandar.
Katanya, usaha menambah baik infrastruktur di Ulu Wak akan terus diberi perhatian bagi memastikan penduduk menikmati akses yang lebih baik serta menyokong perkembangan sosioekonomi setempat selaras dengan agenda pembangunan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS). - EDISI UKAS