70 KMKK Pantu Diperkasa Hadapi Bencana MTL Menerusi Latih Amal Pengurusan PPS
PANTU: Seramai 70 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Daerah Pantu diperkasa dengan pengetahuan serta kesiapsiagaan mengurus Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebagai persediaan menghadapi kemungkinan bencana ketika Monsun Timur Laut (MTL).
Persediaan itu dilaksanakan menerusi Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Tahun 2026 anjuran Unit Pengurusan Bencana, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pantu di Dewan Sri Pantu, pada Sabtu.
Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Pantu, Helen Maria Nelson Ugas berkata, latihan berkenaan penting bagi mengenal pasti sebarang jurang dan kelemahan dalam sistem pengurusan bencana sebelum berdepan situasi sebenar.
Menurutnya, latihan itu turut menguji tahap keselamatan serta keberkesanan komunikasi antara agensi kerajaan dan masyarakat ketika berlakunya bencana khususnya banjir.
“Ketika berlaku bencana seperti banjir, kita menjangka akan tercetus keadaan panik dalam kalangan mangsa.
"Justeru, beberapa perkara perlu diketahui semua pihak agar sebarang kelemahan dapat segera diperbaiki sebelum berhadapan situasi sebenar,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Helen turut menyeru semua agensi keselamatan dan kerajaan yang terlibat dalam pengurusan bencana supaya memperkukuh kerjasama serta tidak bergerak secara bersendirian ketika menghadapi MTL.
“Sebaliknya, semua pihak harus bekerjasama dan memperkukuh komunikasi antara satu sama lain agar pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan lebih lancar serta berkesan demi kepentingan mangsa,” katanya.
Program itu dimulakan dengan sesi taklimat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Peserta kemudiannya mengikuti latihan simulasi, ‘tabletop exercise’ pengurusan PPS serta latihan pendaftaran awal mangsa bencana bagi meningkatkan kefahaman dan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan.
Turut hadir, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman, PPgB Andrew Vengitasamy, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Leftenan (PA) Kamal Bujang, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Sri Aman, Maxon Maoh, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Sri Aman, Bong Ming Chu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Mohd Azri Bunyok, Ketua Balai Polis Pantu, Sarjan Saiful Azhar Abdullah. -Edisi UKAS