Saratok Rancang Teroka Potensi Sungai, Air Terjun Sebagai Tarikan Pelancongan
SARATOK: Saratok berpotensi memperluas sektor pelancongan menerusi usaha mengenal pasti kawasan sungai dan air terjun yang boleh dibangunkan sebagai tarikan baharu kepada pengunjung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, perancangan itu sedang diusahakan bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi meneroka potensi kawasan berkenaan, sekali gus memperkukuh produk pelancongan tempatan.
Menurutnya, usaha tersebut selari dengan perancangan menjadikan Pesta Saratok sebagai acara tahunan yang bukan sahaja mampu menarik pengunjung, malah membuka peluang penjanaan pendapatan kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Saratok 2026 di Pentas Utama Sri Kalaka, di sini, pada Sabtu.
Friday berkata, penganjuran pesta itu merupakan platform menyatukan masyarakat pelbagai kaum, selain menyediakan ruang kepada penduduk yang terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan untuk menjana pendapatan tambahan.
Beliau turut menyentuh seruan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ketika merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) di Betong pada 26 September lalu supaya masyarakat memberi tumpuan kepada sektor pertanian dan pelancongan sebagai sumber penjanaan pendapatan.
Sehubungan itu, selain meneroka potensi pelancongan, perancangan pembangunan ekonomi berasaskan pertanian moden turut diberi perhatian bagi memperluas peluang ekonomi kepada penduduk Saratok.
Dalam perkembangan berkaitan, ADUN Kalaka, Mohamad Duri memaklumkan bahawa Premier Sarawak telah meluluskan peruntukan lebih RM101 juta bagi pelaksanaan projek menaik taraf Tebingan Saratok atau Saratok Waterfront.
Pesta Saratok 2026 turut mengetengahkan kepelbagaian budaya masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti, termasuk perarakan ‘juntoi’ bagi masyarakat Cina, pertandingan pangkah gasing bagi masyarakat Melayu serta pertandingan karaoke yang melibatkan penyertaan semua kaum.
Pesta yang berlangsung pada 3 Oktober itu dihadiri kira-kira 1,000 pengunjung dan turut disaksikan Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid.-EDISI UKAS