Program Semarak Perpaduan Erat Silaturahim Komuniti Tanjung Bundong
KOTA SAMARAHAN: Program Semarak Perpaduan Komuniti Sejahtera anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tanjung Bundong Tradisi menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim, perpaduan dan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang berkata, pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan penting dalam mengeratkan hubungan sesama penduduk selain mewujudkan suasana kampung yang aman dan harmoni.
Menurut beliau, penganjuran pelbagai aktiviti turut memberi ruang kepada masyarakat untuk mengenali kekuatan serta mengenal pasti keperluan dan cabaran yang dihadapi komuniti setempat.
“Saya gembira melihat Tanjung Bundong mengadakan pelbagai aktiviti seperti ini untuk mengeratkan hubungan sesama anggota Rukun Tetangga, merapatkan persahabatan serta membawa keamanan dalam komuniti.
“Saya mengucapkan syabas kepada jawatankuasa KRT Tanjung Bundong Tradisi dan terima kasih kepada Jabatan Perpaduan atas sokongan serta sumbangan dalam menjayakan aktiviti seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program tersebut di Dewan Suarah Kota Samarahan pada Ahad.
Dato’ Idris turut menyifatkan pertandingan yang dianjurkan sebagai platform mencungkil bakat dalam kalangan penduduk selain menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam program komuniti.
Antara aktiviti yang diadakan ialah sukaneka, pertandingan kuih tradisional, henna tangan, pertandingan memasak bertemakan ikan tradisi, pertandingan mewarna kanak-kanak dan warga emas, pertandingan carom bergu terbuka serta ‘face painting’. -EDISI UKAS