Pertandingan Memancing Muara Lassa Berpotensi Jadi Acara Tahunan Daro
DARO: Sambutan menggalakkan terhadap penganjuran sulung Pertandingan Memancing Muara Lassa Daro Vol. 1 membuka potensi acara itu untuk dijadikan program tahunan bagi merancakkan aktiviti komuniti serta menarik penyertaan pemancing dari luar kawasan Daro.
Pertandingan anjuran Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.43 Daro itu berlangsung di Jeti Jambatan Muara Lassa, pada Sabtu, dengan kehadiran kira-kira 450 pengunjung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, sambutan yang diterima pada edisi pertama itu amat menggalakkan, sekali gus membuktikan pertandingan memancing berupaya menghimpunkan peminat sukan rekreasi serta mengeratkan hubungan masyarakat.
Menurut beliau, penyertaan pemancing dari Sibu, Mukah, Sarikei dan Bintangor turut memperlihatkan potensi pertandingan itu untuk menarik penyertaan lebih luas pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan gimik pelepasan Pertandingan Memancing Muara Lassa Daro di Jeti Jambatan Muara Lassa, di sini, pada Sabtu.
Dr Safiee berharap penganjuran berkenaan dapat diteruskan sebagai acara tahunan bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat aktiviti memancing untuk menyertai program seumpama itu.
Pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM14,800 itu dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kategori bot yang melibatkan empat peserta bagi setiap bot dan kategori memancing tebing secara individu.
Dalam kategori bot, Mohamad Elsyamaniezar Isuandi dari Kampung Badong muncul juara dengan hasil tangkapan seberat 1.505 kilogram dan membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.
Tempat kedua dimenangi Hafiq Afizan Ismail dari Kuarters Perikanan Laut Daro dengan tangkapan seberat 1.420 kilogram, manakala Raimi Razali dari Kampung Badong menduduki tempat ketiga dengan tangkapan seberat 1.220 kilogram yang mana masing-masing menerima hadiah RM3,000 dan RM2,000.
Bagi kategori memancing tebing, Hamka Merjang dari Kampung Belawai muncul juara dengan tangkapan seberat 0.665 kilogram dan menerima RM2,000.
Ahmad B. Besungo dari Kampung Nangar Besar meraih tempat kedua dengan tangkapan seberat 0.365 kilogram, manakala Mohd Khaizal Manan dari Mukah menduduki tempat ketiga dengan tangkapan seberat 0.345 kilogram dengan masing-masing membawa pulang RM1,000 dan RM700.
Turut hadir Exco Pemuda PBB Sarawak, Abg Mohamad Hafiq Abg Kassim dan Timbalan Ketua Cawangan PBB Daro, Kr Hamden Taha.-EDISI UKAS