SKS 2026 Mukah Dekatkan Peluang Pekerjaan, Keusahawanan dan Bantuan Kebajikan
MUKAH: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Mukah memudahkan masyarakat mendapatkan akses kepada peluang pekerjaan, keusahawanan dan bantuan kebajikan menerusi penyediaan pelbagai perkhidmatan kerajaan dan swasta secara bersepadu.
Penganjuran program itu memberi manfaat khususnya kepada golongan belia yang sedang mencari pekerjaan, selain menyediakan ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat berkaitan peluang perniagaan serta kemudahan kebajikan tanpa perlu berurusan dengan agensi secara berasingan.
Penjawat awam dari Matu, Athallah Zunnurain Iqbal Othman berkata, penyediaan kaunter temu duga sepanjang program berlangsung memberi peluang kepada golongan belia untuk berhubung secara langsung dengan pihak yang menawarkan pekerjaan.
Menurutnya, penglibatan institusi kewangan dan agensi berkaitan turut membuka ruang kepada masyarakat untuk meneroka peluang keusahawanan serta mendapatkan maklumat yang diperlukan bagi memulakan perniagaan.
Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah, Dariel Thiong berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan pelbagai perkhidmatan sepanjang program berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober bagi memudahkan masyarakat mendapatkan kemudahan kebajikan.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk permohonan bantuan bulanan, Kad Emas Kenyalang dan Skim Bantuan Kesihatan Warga Emas (SCHB).
Beliau menggalakkan masyarakat yang belum mengunjungi program itu supaya mengambil peluang mendapatkan maklumat serta perkhidmatan yang disediakan oleh JKM dan agensi lain yang terlibat.
Dalam pada itu, Penghulu Langi Telajan menyifatkan penganjuran SKS sebagai usaha Kerajaan Sarawak mendekatkan perkhidmatan serta pelbagai aktiviti kepada masyarakat di Bahagian Mukah.
Katanya, penglibatan jabatan kerajaan dan agensi swasta membolehkan penduduk setempat, termasuk mereka dari kawasan luar Mukah, menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan.
Penghulu Thomas Tayai pula berkata, sambutan masyarakat yang menggalakkan membuktikan program itu mendapat perhatian penduduk, sekali gus memberi peluang kepada mereka mengunjungi reruai pameran dan mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan.
Program SKS 2026 Bahagian Mukah berlangsung selama tiga hari bermula 2 hingga 4 Oktober dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan perkhidmatan serta aktiviti kepada masyarakat.-EDISI UKAS