KANOWIT: Sebanyak 90 peratus daripada 201 projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah bagi tempoh 2022 hingga 2026 telah siap dilaksanakan, mencerminkan kemajuan usaha pembangunan infrastruktur di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, pencapaian itu merupakan antara hasil pelaksanaan agenda pembangunan sepanjang tempoh satu penggal beliau sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.
Antara projek infrastruktur utama yang dilaksanakan termasuk pengoperasian Feri Sedaya, pembinaan Jalan Simpang Nanga Dap, Jalan Nanga Bat-Nanga Pra serta penyambungan bekalan elektrik luar bandar (RES) ke kawasan Ngemah Tengah dan Ulu Ngemah.
Menurut Anyi, Jalan Nanga Bat-Nanga Pra sepanjang sembilan kilometer telah siap dibina dengan kos RM108 juta, manakala majlis pecah tanah bagi projek Jalan Nanga Ngungun-Nanga Bat dijadual berlangsung pada 17 Oktober ini.
Beliau berkata demikian ketika sesi randau bersama Persatuan Tuai Rumah Kawasan Penghulu Lembat di Pusat Khidmat Ngemah, pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, Anyi berkata beliau telah membuat persediaan untuk membangkitkan beberapa isu pembangunan di kawasan Ngemah semasa Persidangan DUN Sarawak yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 21 Oktober ini.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk terus menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sehingga DUN Sarawak dibubarkan.
Dalam pada itu, Anyi menyeru ahli Persatuan Tuai Rumah supaya melaksanakan tanggungjawab dengan amanah serta memperkukuh peranan sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat di peringkat akar umbi.
Katanya, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu memastikan maklumat berkaitan dasar serta perancangan pembangunan kerajaan disampaikan kepada penduduk di kawasan masing-masing.
Pada sesi berkenaan, Anyi turut menyerahkan cek geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Tuai Rumah Kawasan Bob hingga Bejait bagi membiayai aktiviti tahunan persatuan.-EDISI UKAS