‘Women Entrepreneurs Dashboard’ Sarawak Disasar Beroperasi Awal 2027
KUCHING: ‘Women Entrepreneurs Dashboard (WED)’ Sarawak disasarkan siap dan mula beroperasi pada awal 2027 bagi menyediakan pangkalan data usahawan wanita yang lebih menyeluruh, sistematik dan tepat di Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif itu dibangunkan bagi memperkukuhkan pemerkasaan ekonomi rakyat Sarawak dengan mengumpulkan data usahawan wanita di bawah bimbingan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS).
Menurut beliau, sehingga September 2026, seramai 3,901 daripada 5,266 usahawan bimbingan JWKS bagi tempoh 2018 hingga 2026 telah didaftarkan dalam sistem M-BEST milik Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), iaitu kira-kira 74 peratus.
“Pemasangan fizikal WED di Wisma Wanita disasarkan siap pada pertengahan Disember dari segi pemasangan bahagian fizikalnya.
“Insya-Allah, ia akan mula beroperasi pada awal tahun 2027. Ini sasaran kita, WED Sarawak ini akan siap dan beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Mikro Kebajikan 2026 yang dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Metrocity Event Centre, di sini, pada Ahad.
Dato Sri Fatimah menambah, WED Sarawak akan menjadi instrumen bagi membolehkan pemantauan dan penilaian dilaksanakan dengan lebih teratur, sistematik dan tepat menerusi penggunaan data semasa.
Jelasnya, inisiatif ini penting kerana ia bukan sahaja akan menyediakan pangkalan data, tetapi akan menjadi satu instrumen bagi membolehkan kita membuat pemantauan dan juga penilaian.
Beliau berkata, data yang dikumpulkan akan memberikan gambaran lebih jelas mengenai profil usahawan termasuk jenis perniagaan, umur, pendapatan bulanan serta masalah yang dihadapi.
Ujarnya, maklumat tersebut akan membantu kerajaan melaksanakan intervensi serta menyediakan sistem sokongan yang diperlukan melalui pelbagai inisiatif kerajaan dengan lebih cepat dan tepat.
“Kita mahu memastikan bahawa usahawan-usahawan kita di Sarawak, terutama daripada kalangan wanita, akan dapat meningkat maju dan meningkatkan pendapatan keluarga mereka sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030.
“Ini supaya rakyat kita apabila pendapatan mereka bertambah, terutama pendapatan isi rumah, dapat melepasi garis kemiskinan dan mencapai pendapatan yang kita sasarkan, insya-Allah Sarawak akan menjadi negeri yang maju menjelang 2030 dengan adanya sumbangan daripada usahawan-usahawan kita ini,” ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Dr Mohamad Razi Sitam, Penasihat MINTRED Dato Sri Naroden Majais dan Pengarah JKMS Semawi Mohamad. -EDISI UKAS