Usahawan SME Diseru Terokai Pasaran Halal, Antarabangsa
KUCHING: Usahawan mikro dan kecil (SME) Sarawak diseru meneroka pasaran lebih luas termasuk industri halal yang mempunyai potensi besar di peringkat antarabangsa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, usahawan perlu memahami syarat dan piawaian yang diperlukan untuk menembusi pasaran halal bukan sahaja dalam sektor makanan dan agromakanan, malah termasuk industri fesyen serta produk lain.
Beliau berkata, pasaran halal menawarkan peluang besar sekiranya usahawan tempatan mampu memenuhi keperluan dan piawaian pasaran antarabangsa.
“Cuba kita bayangkan untuk masyarakat Islam sahaja. Di Arab Saudi, berapa ramai orang pergi umrah dan menunaikan haji?
“Musim-musim macam ini sahaja, berapa botol minuman yang mereka perlukan dan lebih-lebih lagi kalau masa cuaca panas, masa musim panas.
“Kalau kita dapat menguasai hanya dua peratus daripada pasaran, berapa banyak itu? Berapa juta, ratusan juta jumlahnya?
“Industri halal yang begitu besar, saya fikir kalau tidak silap saya, sekarang ini lebih daripada USD3 trilion. Itu untuk pasaran halal bukan hanya untuk minuman sahaja,” katanya ketika berucap pada perasmian Majlis Anugerah Usahawan Mikro Kebajikan 2026 di Metrocity Event Centre, di sini, pada Ahad.
Datuk Amar Awang Tengah berkata, produk tempatan seperti kraf tangan, makanan, minuman dan fesyen mempunyai potensi untuk dipasarkan di negara-negara yang mempunyai permintaan tinggi terhadap produk halal.
Sehubungan itu katanya, usahawan perlu meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan bagi memenuhi piawaian pasaran antarabangsa yang bersedia membayar lebih bagi produk berkualiti.
Beliau turut menggesa usahawan memanfaatkan program latihan yang dianjurkan oleh jabatan kerajaan dan pihak swasta bagi meningkatkan kemahiran serta kualiti produk dan perkhidmatan masing-masing.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah memberitahu, bidang seperti farmaseutikal dan perubatan turut mempunyai potensi untuk diterokai dengan kerjasama Pusat Biodiversiti Sarawak, berdasarkan pelbagai penyelidikan dan sumber yang terdapat di Sarawak.
Katanya, usahawan juga tidak seharusnya hanya menumpukan pasaran di peringkat kampung atau Sarawak, sebaliknya perlu meneroka peluang di pasaran yang lebih luas.
Beliau turut memaklumkan bahawa usaha sedang dilaksanakan bagi memberi ruang dan peluang kepada produk serta perkhidmatan tempatan dipasarkan di pasar raya, pasar raya besar dan pusat beli belah yang diwujudkan pihak swasta.
“inilah peluang. Saya mahu melihat pengusaha kecil dan sederhana kita, termasuk di peringkat mikro ini, memanfaatkan peluang-peluang daripada pelaburan yang ada supaya kita dapat membekalkan produk-produk, menyediakan makanan-makanan yang diperlukan dan menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan yang diperlukan,” ujarnya.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Dr Mohamad Razi Sitam, Penasihat MINTRED Dato Sri Naroden Majais dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) Semawi Mohamad. -EDISI UKAS