Bahasa, Budaya Nadi Perpaduan Masyarakat Pelbagai Kaum
BINTANGOR: Bahasa dan budaya perlu terus diperkasa sebagai nadi perpaduan dalam membentuk masyarakat yang saling menghormati serta menghargai kepelbagaian warisan kaum di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata bahasa kebangsaan merupakan tunjang perpaduan rakyat Malaysia, manakala bahasa etnik pula menjadi sebahagian daripada kekayaan jati diri masyarakat.
Menurut beliau, perkara tersebut dapat diterapkan menerusi penganjuran Program Pelbagai Kaum: Seribu Rona Satu Jiwa yang mengetengahkan kepelbagaian bahasa, budaya dan warisan masyarakat di Sarawak.
“Program ini bukan sekadar majlis hiburan semata-mata, tetapi merupakan wadah penghargaan terhadap bahasa dan budaya, khususnya bahasa kebangsaan yang menjadi tunjang perpaduan rakyat Malaysia, serta bahasa-bahasa etnik yang membentuk kepelbagaian dan kekayaan jati diri kita sebagai bangsa Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program tersebut di Dewan Sri Rajang, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang, di sini pada Ahad.
Dr. Safiee menambah, pengisian program yang menampilkan bacaan puisi dalam bahasa kebangsaan dan bahasa etnik merupakan lambang kecintaan terhadap bahasa, sastera dan warisan.
Katanya, ruang yang diberikan kepada bahasa etnik khususnya bahasa Iban turut membuka peluang kepada masyarakat untuk mengenali dan menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi identiti unik Sarawak.
Dalam pada itu, beliau menegaskan program seumpama itu penting dalam memperkukuh semangat perpaduan, memupuk rasa hormat antara kaum serta mengangkat bahasa sebagai nadi bangsa.
“Melalui bahasa, kita berkomunikasi, melalui puisi, kita menyampaikan jiwa dan melalui budaya pula, kita menyatukan hati,” katanya lagi.
Dr. Safiee turut berharap usaha memperkasakan bahasa kebangsaan dan memelihara bahasa etnik dapat terus dipergiat khususnya dalam kalangan generasi muda agar warisan dan identiti masyarakat tidak terhakis dalam arus kemodenan.-EDISI UKAS