Kesedaran Biodiversiti Perlu Diperkasa Lindungi Khazanah Alam
MIRI: Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan biodiversiti perlu terus diperkasa bagi memastikan khazanah alam semula jadi, khususnya Taman Negara Bukit Lambir, terus dilindungi dan dihargai generasi akan datang.
Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, program pendidikan dan kesedaran awam ‘The Insects of Lambir Hills National Park’ menjadi platform untuk mendekatkan masyarakat dengan alam semula jadi serta memahami peranan setiap hidupan dalam ekosistem.
Beliau berkata, serangga yang bersaiz kecil memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem, antaranya melalui proses pendebungaan dan kitaran nutrien.
“Kesedaran mengenai biodiversiti perlu bermula dengan pemahaman bahawa setiap hidupan, termasuk serangga, mempunyai peranan tersendiri dalam ekosistem,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutupan program tersebut di Taman Negara Bukit Lambir, di sini, pada Sabtu.
Menurut Adam, pengiktirafan Taman Negara Bukit Lambir sebagai ASEAN Heritage Park mencerminkan kepentingan kawasan berkenaan bukan sahaja kepada Sarawak, malah di peringkat Asia Tenggara, sekali gus meletakkan tanggungjawab bersama kepada semua pihak untuk memelihara warisan semula jadi itu.
Katanya, program yang berlangsung sejak 28 September menerusi aktiviti ceramah, kuiz dan pertandingan mewarna turut memberi peluang kepada peserta, khususnya generasi muda, mengenali biodiversiti hutan serta memupuk rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Beliau berkata, usaha berkenaan selari dengan aspirasi Miri sebagai Bandar Hijau yang menekankan keseimbangan antara pembangunan, kesejahteraan masyarakat dan pemeliharaan alam sekitar.
Majlis turut dihadiri Timbalan Pengurus Besar Pengurusan Sarawak Forestry Corporation (SFC) Japanie Bujang serta Timbalan Controller Taman Negara dan Rizab Semulajadi Sarawak Mohd Kasyfullah Zaini.-EDISI UKAS