Spaoh Berpotensi Jadi Hab Pertanian Komersial, Perluas Pasaran Hasil Tanaman
SPAOH: Spaoh berpotensi muncul sebagai hab pertanian komersial menerusi pembangunan ladang bersepadu yang dapat meningkatkan pengeluaran tanaman serta membuka peluang pasaran lebih luas kepada pengusaha tempatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, potensi pertanian di kawasan itu perlu dimanfaatkan melalui pengeluaran berskala komersial bagi meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan daya saing sektor berkenaan.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur dan jaringan pengangkutan di kawasan Betong, termasuk kemudahan STOLport Bebuling, berpotensi menyokong usaha memperluas pasaran hasil pertanian dari Spaoh ke destinasi lain.
“Tanam di sini, di Spaoh, kita jual ke luar Spaoh melalui STOLport Bebuling seperti ke Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Agropark Bebuling bagi meninjau perkembangan aktiviti tanaman di kawasan berkenaan pada Ahad.
Datuk Amar Douglas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, kewujudan STOLport Bebuling bakal melengkapkan jaringan perhubungan sedia ada, sekali gus menyediakan pilihan pengangkutan baharu kepada penduduk dan pemain industri.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan masyarakat setempat memanfaatkan kemudahan infrastruktur yang dibangunkan bagi mengembangkan aktiviti ekonomi, khususnya dalam sektor pertanian.
Beliau turut menekankan kepentingan penerapan teknologi pertanian yang bersesuaian bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan pengeluaran serta hasil tanaman.
Katanya, penggunaan teknologi mampu membantu menjadikan aktiviti pertanian lebih berdaya saing dan berorientasikan pasaran, selain menyokong pembangunan ekosistem pertanian bersepadu di Spaoh.
Turut hadir, Setiausaha Majlis Daerah Betong, Llster Clement Guwie, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan Bukit Saban.-EDISI UKAS