Penglibatan Sektor Swasta Perkasa Sukan, Cungkil Bakat Baharu
KUCHING: Sektor swasta digalak memperbanyak penganjuran kejohanan sukan sebagai usaha mencungkil bakat baharu, mengembangkan sukan serta memperkukuh perpaduan masyarakat di Sarawak.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, penglibatan syarikat swasta dalam penganjuran acara sukan turut menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial dalam menyatupadukan masyarakat.
Menurut beliau, Kejohanan Pickleball Pekat 2026 anjuran Pekat Energy Sarawak membuktikan sukan berkenaan berpotensi menjadi platform interaksi yang menghimpunkan peserta daripada pelbagai kaum dan peringkat umur.
“Di samping berniaga, mereka juga mengadakan perlawanan ini sebagai salah satu sumbangan sosial mereka. Usaha kita untuk membina bakat, mencungkil bakat dalam bidang pickleball-lah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penutupan Kejohanan Pickleball Pekat 2026 di Pikabol Malaysia di sini pada Ahad.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menambah, penyertaan golongan muda, warga berusia dan pemimpin daripada pelbagai kaum dalam kejohanan itu mencerminkan peranan sukan dalam mengeratkan hubungan masyarakat serta memupuk semangat perpaduan.
“Ini adalah satu cara kita untuk menyatupadukan rakyatlah dan saya percaya bahawa dengan adanya kejohanan seperti ini, dengan adanya penglibatan pihak swasta seperti yang dianjurkan oleh PEKAT tersebut, saya percaya bahawa ini akan dapat mengembangkan lagi sukan pickleball ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Pekat Energy Sarawak atas kejayaan penganjuran kejohanan berkenaan dan berharap lebih banyak syarikat swasta tampil menganjurkan acara sukan seumpamanya pada masa hadapan.
Kejohanan Pickleball Pekat 2026 itu menghimpunkan sebanyak 28 pasukan yang bersaing dalam kategori Beregu Lelaki, Beregu Wanita dan Beregu Campuran serta acara VIP.
Pasukan Setiausaha Kerajaan Sarawak muncul juara acara berpasukan, diikuti Sarawak Digital Economy Corporation Berhad SDEC (SKJV) di tempat kedua dan Sarawak Energy Berhad (SEB) HQ di tempat ketiga.
Bagi kategori Beregu Lelaki VIP, pasangan Ir. Ts. Muhammad Randie Abdullah dan Rizal Ahmad daripada SEB muncul juara, manakala Dato Abang Arabi Abang Narudin dan Muammar Quaddafi daripada Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) menduduki tempat kedua serta tempat ketiga dimenangi pasangan Azmi Yusuf dan Nazarie Kushairy daripada pasukan Setiausaha Kerajaan Sarawak.
Dalam kategori Beregu Wanita VIP pula, pasangan Dato Enn Ong Siok Ean dan Datin Lily Wong daripada SABATI meraih gelaran juara, diikuti Afifah Fatin Abu Bakar dan Dayang Zuriati Izzrinda Abg Julaihi daripada MAKSAK di tempat kedua serta tempat ketiga menjadi milik pasangan Dato Baduyah Bujang dan Zetty Farazieta Zakaria daripada SABATI.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: Rais Sanusi & Shahril Haqim