BINTULU: Bintulu kekal sebagai lokasi penganjuran Sarawak Agrofest bagi edisi 2027 selepas mendapat sokongan Kerajaan Sarawak.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, keputusan itu dibuat susulan sambutan menggalakkan terhadap penganjuran Sarawak Agrofest 2026 di bahagian berkenaan.
Menurut beliau, Bintulu dipilih sebagai tapak kekal bagi penganjuran ekspo pertanian terbesar di Sarawak yang menghimpunkan pemain industri agro-makanan dari dalam dan luar negeri.
“Pada tahun hadapan kita akan datang ke Bintulu lagi untuk Agrofest 2027,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penangguhan Sarawak Agrofest 2026 di Lapangan Terbang Lama Bintulu pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu memaklumkan, Sarawak Agrofest 2026 merekodkan 126,333 pengunjung tunggal, manakala jumlah kunjungan berulang mencecah 2.5 juta.
Bagaimanapun, katanya, hasil jualan pada edisi kali ini merekodkan RM3.6 juta berbanding RM6.5 juta pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata, perbezaan itu antara lain dipengaruhi penganjuran pelbagai program dan perayaan lain di Sarawak pada tahun ini yang turut melibatkan Bintulu.
Sementara itu, Residen Bahagian Bintulu, Datuk Nyurak Keti berkata, pihaknya amat menghargai kepercayaan Kerajaan Sarawak memilih Bintulu sebagai lokasi Sarawak Agrofest untuk kali ketiga.
Beliau berkata, penganjuran berkenaan turut memberi limpahan ekonomi kepada sektor perhotelan, makanan dan perniagaan tempatan.
“Bukan setakat tempat ini yang penuh, hotel-hotel pun penuh dan kedai makan juga penuh. Semua industri dapat berkembang kerana Sarawak Agrofest,” ujarnya.
Menurut beliau lahi, penganjuran Agrofest turut menarik pengunjung dari luar Bintulu, luar Sarawak malah negara jiran seperti Brunei dan Indonesia.
Beliau berharap edisi akan datang terus menjadi platform untuk mempromosikan produk tempatan selain menarik lebih ramai pengunjung ke Bintulu.
Sarawak Agrofest 2026 berlangsung selama 10 hari bermula 25 September hingga 4 Oktober, menampilkan pelbagai pameran, jualan serta aktiviti berkaitan sektor pertanian, penternakan, perikanan dan industri makanan.
Turut hadir, Penasihat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak) merangkap ADUN Pakan Tan Sri William Mawan Ikom, ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon, ADUN Jepak, Iskandar Turkee, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Sirai Daha serta Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Datuk Dr. Adrian Susin Ambud.- EDISI UKAS