Sektor Pertanian Sarawak Perlu Bergerak Ke Arah Ekonomi Moden
BINTULU: Sektor pertanian Sarawak perlu terus beralih daripada pendekatan tradisional kepada ekosistem ekonomi moden yang berteraskan teknologi, inovasi dan produk bernilai tambah.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, sektor pertanian tidak lagi boleh dilihat semata-mata sebagai aktiviti menghasilkan makanan.
Sebaliknya, beliau berkata, sektor berkenaan perlu merangkumi keseluruhan rantaian termasuk pengeluaran, pemprosesan, teknologi, logistik, pemasaran, eksport dan pembangunan produk bernilai tinggi.
“Lebih banyak produk perlu diproses dan diberikan nilai tambah supaya pendapatan pengusaha dapat ditingkatkan dan mampu menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penangguhan Sarawak Agrofest 2026 di Lapangan Terbang Lama Bintulu pada Ahad.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu, usaha meningkatkan produktiviti, memperluas penggunaan teknologi dan mekanisasi serta memperkasa agropreneur perlu diperkukuh bagi menjadikan sektor pertanian sebagai kerjaya dan perniagaan yang berdaya maju.
Katanya, golongan muda juga perlu melihat pertanian sebagai sektor yang menawarkan peluang ekonomi baharu menerusi penggunaan teknologi digital, automasi, kecerdasan buatan (AI), pertanian pintar dan inovasi.
“Dengan teknologi digital, automasi, kecerdasan buatan, pertanian pintar dan inovasi, sektor ini menawarkan ruang yang luas untuk anak muda membina masa depan,” ujarnya.
Datuk Dr. Abdul Rahman turut menyeru petani, penternak, nelayan dan agropreneur supaya berani meneroka pendekatan baharu, meningkatkan kualiti produk serta memanfaatkan teknologi terkini.
Dalam pada itu, katanya, kerjasama antara kerajaan, agensi, pemain industri dan semua pemegang taruh amat penting bagi memastikan manfaat pembangunan sektor pertanian dapat dirasai khususnya masyarakat luar bandar.
Beliau berkata, Sarawak Agrofest menjadi platform penting untuk membina jaringan, berkongsi ilmu serta membuka peluang perniagaan yang perlu diteruskan selepas tamatnya penganjuran festival.
Sarawak Agrofest 2026 berlangsung selama 10 hari bermula 25 September hingga 4 Oktober dan menghimpunkan pemain industri pertanian, penternakan, perikanan serta industri makanan dari dalam dan luar Sarawak.
Turut hadir, Penasihat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak) merangkap ADUN Pakan Tan Sri William Mawan Ikom, ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon, ADUN Jepak, Iskandar Turkee, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Sirai Daha, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Datuk Dr. Adrian Susin Ambud serta Residen Bahagian Bintulu Datuk Nyurak Keti.- EDISI UKAS