PACA Perlu Kuasai Prosedur Pilihan Raya, Bersedia Hadapi Kemungkinan
SPAOH: Penguasaan prosedur pilihan raya dan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan menjadi keutamaan petugas Ejen Mengundi dan Ejen Mengira (PACA) bagi memastikan proses pengundian serta pengiraan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 berjalan lancar dan mengikut peraturan ditetapkan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, PACA perlu memahami sepenuhnya peranan dan tanggungjawab masing-masing, terutama ketika memantau proses pengundian dan pengiraan undi di setiap stesen mengundi.
Menurut beliau, PACA yang terlatih dan bersedia mampu melaksanakan tugas dengan lebih berkesan, selain memastikan kepentingan parti masing-masing terpelihara sepanjang proses pilihan raya.
“PACA amat penting dalam PRN kerana mereka menjaga kepentingan parti di setiap stesen mengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Taklimat Persediaan serta Peranan PACA bagi menghadapi PRN Sarawak Ke-13 Tahun 2026 di Dewan Masyarakat Spaoh, di sini, pada Ahad.
Datuk Amar Douglas turut menegaskan bahawa proses pengiraan undi memerlukan perhatian khusus PACA bagi memastikan setiap prosedur dilaksanakan dengan betul dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Katanya, mereka juga perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk situasi yang memerlukan pengiraan semula undi.
Sehubungan itu, beliau berharap semua PACA dapat melaksanakan amanah yang diberikan secara telus dan berdisiplin, selain sentiasa mematuhi peraturan pilihan raya.
Turut hadir ialah Setiausaha Eksekutif Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Datu Takun Sunggah, Setiausaha Pergerakan Wanita PBB Sarawak Susan Chemerai Anding serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong.-EDISI UKAS