Silat Mayang Mengurai Diperkasa, Pendidikan Pesilat Muda Turut Diberi Keutamaan
SRI AMAN: Usaha memperkasa seni silat dalam kalangan generasi muda perlu bergerak seiring dengan kecemerlangan pendidikan bagi melahirkan pesilat yang bukan sahaja berdisiplin dan berkemahiran, malah mempunyai masa depan yang lebih baik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, penglibatan golongan muda dalam seni persilatan mampu membentuk disiplin, kecergasan, keyakinan dan jati diri, namun aspek pembelajaran tidak boleh diketepikan.
Menurutnya, keseimbangan antara pendidikan dan kegiatan persilatan penting dalam membentuk generasi muda yang berkualiti serta mampu mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pesilat muda supaya bijak mengurus masa agar dapat memberikan tumpuan kepada pembelajaran di samping aktif dalam kegiatan kokurikulum dan sukan.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penangguhan Rasmi Kejohanan Silat Jemputan Pertubuhan Persaudaraan Silat Mayang Mengurai Sarawak Siri 1/2026 di Dewan Suarah Sri Aman pada Ahad.
Dayang Noorazah yang juga Penaung Pertubuhan Persaudaraan Silat Mayang Mengurai berkata, seni silat bukan sekadar warisan budaya dan seni mempertahankan diri, sebaliknya menjadi medium penting dalam pembangunan sahsiah generasi muda.
Katanya, penglibatan aktif dalam seni persilatan turut membantu membina ketahanan mental, semangat berpasukan dan rasa hormat terhadap guru serta rakan seperjuangan.
Pada masa sama, kerjasama antara pertubuhan silat, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan komuniti perlu terus diperkukuh bagi menyediakan ruang lebih luas kepada pesilat muda mengembangkan bakat masing-masing.
Sokongan berterusan daripada pelbagai pihak juga mampu membuka peluang kepada pesilat menjalani latihan secara lebih tersusun serta menyertai kejohanan di peringkat lebih tinggi, termasuk mewakili Sarawak pada masa akan datang.
Kejohanan tersebut dianjurkan Pertubuhan Persaudaraan Silat Mayang Mengurai Sarawak (Cawangan Sri Aman) dengan kerjasama Kelab Silat Olahraga Mayang (KSOM).-EDISI UKAS