SKS Mukah Tarik 110,772 Pengunjung Sepanjang Tiga Hari
MUKAH: Program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Mukah mencatat kehadiran seramai 110,772 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya di Dataran Pehin Setia Raja, dari 2 hingga 4 Oktober 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, sambutan menggalakkan itu mencerminkan keterujaan masyarakat untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan serta mendekati inisiatif yang disediakan Kerajaan Sarawak.
Menurutnya, seramai 22,412 pengunjung direkodkan pada hari pertama, diikuti 41,641 orang pada hari kedua, manakala sehingga jam 5.00 petang hari ketiga, jumlah kehadiran mencecah 46,719 orang.
Beliau berkata, SKS yang bertemakan ‘Jaga Sarawak • Intu Sarawak’ turut mengetengahkan konsep Pusat Sehenti (One-Stop Centre) menerusi Sarawak Pavilion & Services bagi membolehkan rakyat mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan secara langsung.
“Pendekatan turun padang ini bertujuan meruntuhkan tembok birokrasi, menghapuskan jurang jarak dan mendekatkan perkhidmatan terus kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Mukah pada Sabtu.
Abdul Yakub berkata, pelbagai kluster perkhidmatan disediakan sepanjang program meliputi pentadbiran bahagian, digital dan inovasi, keusahawanan, pendidikan dan modal insan, kesihatan serta sosial dan kebajikan.
Dalam aspek pembangunan modal insan, beliau berkata, Skim Pendidikan Tinggi Percuma atau Free Tertiary Education Scheme (FTES) yang bermula pada 2026 diperuntukkan sebanyak RM250 juta bagi tahun pertama dan disasarkan memberi manfaat kepada 10,000 pelajar Anak Sarawak.
Pembangunan sosioekonomi tempatan turut diberi perhatian menerusi Mukah Kitchen & Sales yang menghimpunkan 50 gerai usahawan tempatan, selain penganjuran Mukah Tourism Excellence dan Program Pemerkasaan Keusahawanan Belia.
Dalam aspek sukan dan gaya hidup sihat, hampir 3,000 peserta mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti termasuk Senamrobik Perdana, SKS Fun Walk: Costume Challenge, tarik tali, street soccer, wall climbing dan Bidar Lukut.
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan Malam Budaya Sarawak bertemakan Gendang Bermukun pada hari pertama serta Konsert Rakyat Perdana pada hari kedua.
Sebanyak 88 hadiah turut disediakan menerusi Cabutan e-Peraduan termasuk sebuah Proton Saga 1.5 AT Standard MC3, tiga motosikal, gajet seperti iPad dan tablet, loket emas serta Smart TV 65 inci.
Abdul Yakub turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan serta menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak untuk terus memastikan manfaat pembangunan dan kemakmuran dapat dinikmati rakyat di seluruh pelosok negeri.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datuk Hii Chang Kee, ADUN Tellian, Royston Valentine dan Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli.-EDISI UKAS