Datang Tanpa Harapan, Pulang Dengan Proton Saga Sempena SKS Mukah
MUKAH: Tidak pernah terlintas bakal membawa pulang sebuah kereta baharu, seorang suri rumah dari Sebako, Daro terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang utama e-Peraduan Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Mukah.
Hawa Beldin memenangi sebuah Proton Saga 1.5 AT Standard selepas menyertai program berkenaan tanpa meletakkan sebarang harapan untuk membawa pulang hadiah utama.
“Tidak terfikir langsung dan ini adalah rezeki, rezeki,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan di sini pada Ahad.
Hawa yang merupakan anak kelima daripada enam beradik hadir bersama seorang rakan pada hari pertama program dan tidak pernah menyangka penyertaannya itu bakal membawa tuah.
Menurutnya, beliau juga tidak pernah memenangi hadiah cabutan bertuah berupa kereta sebelum ini, sekali gus menjadikan kemenangan tersebut satu pengalaman cukup bermakna dalam hidupnya.
Dalam kehidupan seharian, Hawa mengusahakan pembuatan dan penjualan belacan berasaskan bubuk sebagai sumber pendapatan, yang telah dilakukannya sejak kira-kira 20 tahun lalu.
Sebelum ini, beliau menggunakan sebuah Perodua Kelisa terpakai dan tidak pernah terfikir untuk memiliki kereta baharu berikutan sumber pendapatannya yang tidak menentu.
Kemenangan itu membawa kegembiraan tersendiri buat Hawa yang masih tinggal bersama bapanya berusia lebih 80 tahun.
Beliau menyifatkan hadiah berkenaan sebagai rezeki besar buat dirinya dan berharap dapat terus mengembangkan usaha perniagaannya pada masa hadapan.-EDISI UKAS