Golongan Muda Perlu Aktif Dalam Aktiviti Sihat, Elak Terjebak Dadah
BAU: Penglibatan golongan muda dalam pelbagai aktiviti sihat perlu dipergiat sebagai antara usaha membantu mereka menghindari penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep berkata, golongan muda perlu diberikan ruang dan peluang untuk menyertai aktiviti yang dapat membentuk gaya hidup sihat serta membina hubungan positif dalam komuniti.
Menurut beliau, penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang merupakan antara cabaran besar yang dihadapi masyarakat di Bau, termasuk kawasan Singai kerana masalah tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah turut menjejaskan keluarga dan institusi sosial.
“Cabaran besar yang kita hadapi ialah bagaimana kita hendak memerangi penyalahgunaan dadah dan substans yang telah menular dalam masyarakat.
“Justeru, tanggungjawab kita sebagai ibu bapa dan penjaga adalah mencegah sebelum perkara ini berlaku dalam kalangan ahli keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Champions & Community Appreciation Gala 2026 anjuran Sri Singai Tae Kwon-Do, Kuching di Dewan Sri Singai, Kampung Sudoh Singai, di sini, pada Sabtu.
Datuk Henry berkata, kemudahan dan program sedia ada perlu dimanfaatkan golongan muda untuk menjalankan aktiviti berfaedah seperti seni mempertahankan diri Tae Kwon-Do dan Muay Thai, selain bola sepak, badminton, futsal serta aktiviti kecergasan.
Beliau turut menggalakkan golongan muda memperluas pergaulan dengan generasi lebih berusia bagi membolehkan mereka menimba pengalaman dan pandangan daripada golongan terdahulu.
“Anak-anak muda disaran supaya tidak hanya bergaul dengan rakan sebaya tetapi harus bergaul dengan mereka yang lebih tua supaya dapat belajar banyak perkara daripada mereka yang mempunyai pengalaman,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Henry turut mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada Sri Singai Tae Kwon-Do, Kuching sebagai usaha menyokong pembangunan aktiviti belia bagi tahun hadapan. -EDISI UKAS