Komuniti Cina Terus Main Peranan Penting Sokong Agenda Pembangunan Limbang
LIMBANG: Komuniti Cina terus memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pembangunan Limbang selaras dengan aspirasi Sarawak menuju wilayah maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, sokongan berterusan komuniti Cina mampu memperkukuh perpaduan masyarakat sekali gus menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan di daerah ini.
“Semua pihak termasuk komuniti Cina di daerah ini perlu memainkan peranan masing-masing dalam menyokong agenda pembangunan kerajaan,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Ibu Bapa Kali Ke-42 dan Pesta Kek Bulan Tahun 2026, di sini, pada Jumaat.
Tambah beliau, pembangunan yang mampan bukan sahaja tertumpu kepada aspek fizikal dan infrastruktur, malah perlu disokong dengan pembinaan modal insan yang berkualiti bermula dari institusi keluarga.
Menurut beliau lagi, usaha pembangunan yang dilaksanakan perlu selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang menyasarkan negeri ini mencapai status wilayah maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan projek Jalan Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) yang sedang giat dilaksanakan dijangka siap seawal tahun 2028 dan selewat-lewatnya 2030.
Katanya, projek tersebut bakal meningkatkan kesalinghubungan kawasan pedalaman tanpa perlu melalui negara jiran, sekali gus merancakkan pembangunan ekonomi serta membuka peluang baharu kepada masyarakat setempat.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Foochow Limbang bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan program persatuan tersebut.
Hadir sama Pengerusi Persatuan Foochow Limbang Ngu Tiong Kai, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Majlis Sambutan Hari Ibu Bapa Kali Ke-42 dan Pesta Kek Bulan Tahun 2026 Teng Chin Yi, Penaja Utama Majiis Lu Yeng Kwang, Temenggong Leong Boong Ming, Pemanca Chua Beng Soon dan Lembaga Pengelola SJKC Yuk Hin Limbang, Micheal Tiong.-EDISI UKAS