Usaha MAPBA Pelihara Warisan Adat, Budaya Terus Diberi Sokongan
NIAH: Usaha Persatuan Adat dan Budaya (Mekuhka Adat Pengarap Bansa Asal) (MAPBA) dalam memelihara serta mengetengahkan warisan adat dan budaya, khususnya kepada generasi muda, terus mendapat sokongan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, program anjuran persatuan itu mampu menjadi platform menghubungkan generasi dalam memastikan warisan budaya terus dipelihara dan diwarisi.
Menurut beliau, golongan lebih berusia dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan, manakala generasi muda berpeluang belajar, memahami serta meneruskan warisan tersebut.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Pandang Semat sempena Makai Malam Adat Budaya Tikas Menua Niah 2026 dan Peragaan Pakaian Tradisional Iban di Batu Niah pada Sabtu.
Datuk Snowdan turut merakamkan penghargaan kepada MAPBA dan seluruh jawatankuasanya atas komitmen menganjurkan program berkenaan serta berharap usaha seumpama itu diteruskan dengan lebih banyak pengisian dan penyertaan golongan muda pada masa akan datang.
Pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada MAPBA, manakala Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing yang diwakili Datuk Ukar Kelayang turut mengumumkan peruntukan RM10,000.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan peragaan pakaian tradisional Iban, tarian Ngajat dan Kuntau, yang mengetengahkan keunikan serta identiti warisan masyarakat Iban.
Turut hadir Pegawai Tadbir Kanan Bahagian Niah Mohd Fazly Juna, Ketua Balai Polis Batu Niah Sarjan Rasit Othman serta Presiden MAPBA Sherry Bulin.- EDISI UKAS