MARUDI: Bengkel Motivasi Kecemerlangan Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 menjadi platform menyuntik semangat calon agar lebih berdisiplin, fokus dan yakin mengejar kejayaan.
Pengerusi Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Marudi, Kaunselor Yanti Nyanggau berkata, SPM merupakan perjalanan penting dalam kehidupan pelajar, namun bukan penentu keseluruhan masa depan.
Menurut beliau, sikap, disiplin, usaha dan keberanian untuk terus mencuba perlu menjadi pegangan dalam membina masa depan tanpa menjadikan kekurangan atau cabaran sebagai alasan untuk berhenti mengejar impian.
“Jangan belajar hanya untuk lulus SPM. Belajarlah untuk mengubah kehidupan. Tiada alasan untuk mengejar impian,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan bengkel tersebut di Rumah Sarakup, di sini, pada Sabtu.
Kaunselor Yanti yang juga Tokoh Wanita Peringkat Daerah Marudi 2026 turut mengingatkan calon SPM supaya memanfaatkan masa yang ada dengan menyusun jadual belajar, mengurangkan perkara melalaikan serta mendapatkan bimbingan guru apabila diperlukan.
Beliau turut menghargai peranan ibu bapa dalam memberikan sokongan, doa dan keyakinan kepada anak-anak sepanjang persediaan menghadapi peperiksaan.
Bengkel itu turut menampilkan Kaunselor Pendidikan Daerah, Sektor Psikologi dan Kaunseling, Pejabat Pendidikan Daerah Miri, Marvellys Michael Dian sebagai penceramah.
Program anjuran Biro Pendidikan SIDS Cawangan Marudi bertemakan ‘Bangkit, Fokus, Tawan SPM’ itu disertai 43 orang, terdiri daripada 18 pelajar dan 25 ibu bapa.-EDISI UKAS