Pendigitalan Salasilah Keluarga Lestarikan Sejarah dan Warisan
MIRI: Usaha mendigitalkan salasilah keluarga menjadi pendekatan penting dalam memelihara sejarah, budaya dan hubungan kekeluargaan agar terus diwarisi generasi akan datang.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penggunaan teknologi moden membolehkan maklumat keluarga disusun dan dipelihara dengan lebih sistematik, selain memudahkan generasi muda mengenali sejarah serta asal usul mereka.
“Teknologi mengubah cara kita merekod dan mewariskan sejarah, tetapi nilai teras warisan tetap sama. Kita mahu generasi akan datang mengetahui dari mana asal mereka dan memahami sejarah keluarga yang telah dibina oleh generasi terdahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi wakilnya, Kaunselor Dato’ Victor Lau Sie Nguong pada Majlis Makan Malam Perayaan Kuih Bulan Persatuan Klan Yong Miri 2026 di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, salasilah keluarga bukan sekadar catatan nama, sebaliknya turut merekodkan kisah dan sejarah setiap generasi yang menjadi sebahagian daripada perkembangan sesebuah keluarga dan masyarakat.
Beliau berkata, usaha tersebut menunjukkan tradisi dan teknologi moden boleh digabungkan bagi memastikan warisan kekeluargaan kekal relevan, selain menggalakkan golongan muda memanfaatkan teknologi dan melibatkan diri dalam aktiviti persatuan.
Dato Sri Lee turut berharap Persatuan Klan Yong Miri terus memainkan peranan mengeratkan hubungan sesama anggota serta memperkukuh kesinambungan antara generasi.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan sambutan Perayaan Kuih Bulan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan serta menghimpunkan anggota daripada pelbagai generasi.-EDISI UKAS