Pemeliharaan Warisan Budaya Perlu Seiring Kemajuan Ekonomi
MIRI: Pemeliharaan warisan budaya perlu diteruskan seiring kemajuan ekonomi bagi memastikan identiti dan tradisi masyarakat kekal relevan serta diwarisi generasi akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan ekonomi dan perkembangan budaya perlu bergerak seiring dalam proses transformasi Sarawak.
“Pembangunan mungkin membawa masyarakat ke hadapan, namun budaya memberikan pembangunan itu identiti, perwatakan dan semangat kekitaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin sempena Festival Warisan, Tradisi dan Budaya Cina Miri 2026 di Eastwood Valley Golf & Country Club, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, penglibatan golongan muda dalam aktiviti kebudayaan penting bagi memastikan tradisi terus dipelajari, diamalkan dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
Datuk Patinggi Abang Zohari turut menekankan kepentingan memanfaatkan teknologi digital untuk merekod, memelihara dan memperluas penyebaran warisan budaya, selain menghubungkannya dengan pendidikan, pelancongan dan industri kreatif.
Dalam pada itu, masyarakat Cina disaran terus memainkan peranan dalam pembangunan Sarawak, termasuk bidang ekonomi, pendidikan, kebajikan sosial dan pembangunan belia.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama antara pelbagai komuniti dalam mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk Sarawak, di samping memelihara identiti budaya masing-masing.
Festival berkenaan turut mengetengahkan kepelbagaian warisan budaya Cina menerusi persembahan termasuk konsep ‘Eight Elegances’ yang merangkumi Qin, catur, kaligrafi, lukisan, puisi, arak, bunga dan teh, selain persembahan orkestra Cina, nyanyian, tarian etnik, tarian singa tiang tinggi, xiangsheng dan deklamasi puisi.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew serta Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut Adam Yii Siew Sang.-EDISI UKAS