MUKAH: Kerjasama erat dan komitmen semua pihak menjadi antara faktor utama kejayaan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Mukah yang merekodkan kehadiran 101,772 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya dari 2 hingga 4 Oktober.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee berkata, kejayaan penganjuran program itu bukan sahaja diukur berdasarkan jumlah kehadiran, malah melalui penglibatan aktif masyarakat serta interaksi secara langsung antara kerajaan dengan rakyat.
“SKS menjadi platform penting untuk mendekatkan kerajaan dengan masyarakat menerusi pelbagai pengisian.
“Ini termasuk pameran inisiatif kerajaan, perkhidmatan kaunter, Dapur Mukah, hiburan, aktiviti rekreasi dan program kemasyarakatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Post-Mortem Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Mukah di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Mukah di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Dapur Mukah merekodkan jumlah jualan sebanyak RM293,370.10, manakala kaunter perkhidmatan mencatatkan 13,152 transaksi sepanjang program berlangsung.
Daripada jumlah transaksi tersebut, sebanyak 7,047 melibatkan SarawakPass, 285 melalui SPay Global dan 57 transaksi menerusi Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).
Selain itu, sebanyak 5,147 penyertaan direkodkan menerusi e-Peraduan, manakala pelbagai aktiviti sukan berjaya menarik penyertaan seramai 4,834 peserta.
Datu Hii turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, Residen, Pegawai Daerah, Sekretariat SIMU dan RANDO Mukah, agensi kerajaan, badan korporat, pemimpin masyarakat, rakan kerjasama, pengusaha gerai serta semua petugas yang menjayakan program berkenaan.
Menurutnya, dedikasi, usaha gigih dan semangat berpasukan yang ditunjukkan semua pihak menjadi tunjang kepada kejayaan penganjuran SKS 2026 Bahagian Mukah.
Sementara itu, Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli turut merakamkan penghargaan kepada semua ketua jabatan yang menerajui jawatankuasa masing-masing atas komitmen dalam memastikan kelancaran program berkenaan.
Beliau berkata, kerjasama dan kesungguhan semua pihak sepanjang tempoh penganjuran, meskipun berdepan kepenatan, membolehkan program tersebut dilaksanakan dengan lancar dan jayanya.
“Sokongan padu semua pihak amat dihargai dan diharapkan segala usaha yang dicurahkan dalam menjayakan program tersebut menjadi amal yang diberkati.
“Terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing sepanjang penganjuran SKS 2026 Bahagian Mukah,” ujarnya.
Selepas Mukah, SKS 2026 dijadualkan berlangsung di Bahagian Sri Aman dari 30 Oktober hingga 1 November depan.-EDISI UKAS