Bangunan Baharu DUBS Perlu Cerminkan Kualiti Usahawan Bumiputera
KUCHING: Bangunan baharu Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) di Jalan Ong Tiang Swee perlu mencerminkan kualiti serta peranan organisasi berkenaan dalam memperkasa golongan usahawan Bumiputera Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, bangunan tersebut bukan sekadar menjadi premis operasi DUBS, malah perlu menggambarkan imej, kualiti dan bidang perniagaan yang diceburi organisasi itu.
"Sebab itulah saya berpesan kepada (Presiden DUBS) Datuk Helmi, anda mesti mempunyai sebuah bangunan yang baik dan mengagumkan yang harus kita bangunkan, mencerminkan kualiti DUBS.
"Kerajaan Sarawak memberikan bantuan kepada kamu untuk memiliki bangunan tersebut berdekatan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI).
"Itulah bangunan anda, yang mencerminkan kualiti dan mencerminkan perniagaan yang anda ceburi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala DUBS di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Ahad.
Projek pembangunan kompleks berkenaan telah dimulakan sejak November tahun lalu dan dijangka siap pada November 2026.
Kompleks dua blok tujuh tingkat itu dibangunkan dengan kos RM90 juta, dengan RM80.23 juta merupakan geran sumbangan Kerajaan Sarawak.
Apabila siap, kompleks tersebut bakal menempatkan 87 unit pejabat komersial, pejabat korporat DUBS bersama pusat sumber serba guna serta 11 kedai runcit di tingkat bawah.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, barisan Timbalan Menteri Sarawak, Presiden DUBS Datu Abang Helmi Tan Sri Ikhwan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ameerul Shafiq Khir