Pulau Jeju Bakal Jadi Destinasi Baharu AirBorneo Selepas Jakarta
KUCHING: Pulau Jeju, Korea Selatan dijangka menjadi antara destinasi baharu AirBorneo selepas Jakarta, Indonesia dalam usaha memperluas jaringan penerbangan Sarawak ke pasaran antarabangsa.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pengembangan jaringan penerbangan AirBorneo akan memperkukuh hubungan Sarawak dengan pasaran serantau dan antarabangsa, khususnya dalam sektor pelancongan.
“Kita sudah ada penerbangan ke Singapura, ini ke Jakarta, destinasi seterusnya ialah Pulau Jeju, Korea,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Gala Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Ahad.
Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, penerbangan ke destinasi baharu bukan sahaja memberi kemudahan kepada pergerakan penumpang, malah membuka peluang kepada Sarawak untuk membawa produk tempatan ke pasaran luar.
Tambahnya, produk makanan Sarawak seperti umai dan nasi dabai turut boleh diketengahkan kepada pelanggan AirBorneo sekali gus menghubungi produk Sarawak ke pasaran dunia khususnya di ASEAN.
Ujar beliau, AirBorneo bukan sahaja digunakan untuk penumpang, tetapi juga produk yang dhasilkan di Sarawak untuk dijual di kawasan-kawasan tersebut.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, AirBorneo dijangka memulakan penerbangan ke Jakarta pada hujung bulan ini, yang akan membuka lebih banyak peluang interaksi dalam bidang pelancongan, termasuk membawa pelawat dari negara jiran ke Sarawak.
“Kita akan membawa jiran kita yang berkehendakkan rawatan perubatan di Sarawak.
“Mereka datang ke sini bersama keluarga, tentulah sekali makan mi kolok, kek lapis dan seterusnya. Ia menjadi pasaran yang sama untuk kita,” jelasnya. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ameerul Shafiq Khir