Sarawak Bakal Eksport Tenaga Ke Brunei Bermula 2028
KUCHING: Sarawak dijangka mula mengeksport tenaga elektrik ke Brunei pada 2028 sebagai sebahagian usaha memperluas kerjasama tenaga dengan negara jiran serta menjana pendapatan tambahan kepada negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak ketika ini telah berkongsi tenaga dengan Kalimantan Barat dan Sabah, manakala Brunei dijangka menyusul pada 2028.
Menurutnya, Sarawak menyasarkan kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 10 gigawatt (GW) atau 10,000 megawatt (MW) menjelang 2030, meningkat kepada 15 GW atau 15,000 MW pada 2035.
“Sarawak hanya berkehendak 7 Gigawatt (GW) untuk industri yang ada sekarang, tetapi kalau industri kita bertambah, sudah tentu kita boleh tambahkan lagi penggunaan tenaga kita dengan tahun 2035 kita akan keluar 15 GW, 15,000 MW.
“Dan kita kongsi dengan negara jiran termasuk sekarang ini Kalimantan Barat dan Sabah sudah.
“2028 insya-Allah Brunei, lepas itu kita hantar ke Singapura dan Semenanjung Malaysia. Maknanya pendapatan tambahan kepada Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Ahad.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, lebihan kapasiti tenaga yang tersedia turut menjadi daya tarikan kepada pelabur, khususnya industri yang memerlukan bekalan tenaga pada harga berpatutan.
Jelasnya, kemasukan pelaburan baharu akan mewujudkan peluang pekerjaan bergaji tinggi serta membentuk rantaian nilai perniagaan yang turut membuka peluang kepada perniagaan tempatan.
“Sebaik sahaja kita mempunyai tenaga, ia menjadi tarikan kepada pelaburan kerana pelaburan yang memerlukan tenaga akan datang ke tempat yang mempunyai tenaga pada harga yang berpatutan.
“Jadi kalau kita ada ini, sudah tentu pelaburan datang, mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi dan mewujudkan rantaian nilai dalam perniagaan termasuk perniagaan tempatan.
“Kalau ini berlaku, maknanya kita ada perniagaan baharu,” jelasnya.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ameerul Shafiq Khir