Penggiat Teater Perlu Seimbangkan Kebebasan Berkarya Dengan Tanggungjawab Sosial
KUCHING: Penggiat teater perlu memastikan kebebasan berkarya sentiasa diseimbangkan dengan kebijaksanaan, etika dan tanggungjawab sosial bagi memelihara keharmonian masyarakat serta menghormati prinsip kenegaraan.
Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Radzi Omar berkata, kreativiti dan keberanian dalam berkarya perlu disertai kematangan pemikiran serta keinsafan terhadap kesan sesebuah karya kepada masyarakat.
Menurutnya, seni bukan sekadar medium hiburan atau ekspresi kreatif, sebaliknya berperanan membangkitkan kesedaran, menyuburkan empati dan memperluas pemikiran masyarakat.
“Keberanian berekspresi hendaklah berpaksikan nilai, etika dan keinsafan terhadap tanggungjawab sosial serta kenegaraan,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Festival Teater Malaysia (FTM) 2026 Zon Sarawak di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, di sini, pada Ahad.
Beliau berkata, insiden pementasan teater yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini perlu dijadikan peringatan kepada penggiat seni agar sentiasa peka terhadap sensitiviti masyarakat dan menghormati prinsip Rukun Negara.
Katanya, seni seharusnya menjadi kekuatan yang menyatukan masyarakat, memperhalus pemikiran dan mengangkat martabat kemanusiaan, bukannya menjejaskan keharmonian atau merendahkan nilai yang menjadi pegangan bersama.
Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata, penganjuran FTM melalui enam zon di seluruh negara merupakan pendekatan strategik untuk membuka ruang lebih luas kepada penggiat teater mengetengahkan kreativiti, bakat dan identiti tempatan sebelum melangkah ke pentas kebangsaan pada 2027.
Bagi Zon Sarawak, festival bertemakan “Naratif Sungai, Hutan dan Manusia” menghimpunkan tujuh kumpulan teater tempatan yang mengetengahkan karya berteraskan identiti, warisan, masyarakat dan alam sekitar Sarawak.
Beliau berkata, festival itu bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi ruang untuk penggiat seni berkongsi idea, membina jaringan, menimba pengalaman serta mengembangkan bakat dan profesionalisme dalam bidang teater.
Kemuncak majlis menyaksikan Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching dinobatkan sebagai johan menerusi karya Sumpah Darah Meranti, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta piala dan sijil.
Kejayaan itu melayakkan kumpulan berkenaan mewakili Zon Sarawak ke FTM peringkat kebangsaan yang dijangka berlangsung tahun depan.
Persatuan Seni Kreatif SIFAR Kuching meraih naib johan dengan hadiah wang tunai RM7,000, manakala Seniwara Arka dari Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM5,000.
Empat kumpulan lain, iaitu Anak Seni Warisan Kenyalang, i-Cats Thespian Arts, Mahkota Borneo dan Sanggar Silara masing-masing menerima hadiah saguhati RM3,000 berserta piala dan sijil.
Selain anugerah utama, FTM 2026 Zon Sarawak turut menyampaikan 10 Anugerah Khas bagi mengiktiraf kecemerlangan individu serta aspek tertentu dalam pementasan.
Pengarah Terbaik dimenangi Wayne Lee SC menerusi Sumpah Darah Meranti daripada Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching, manakala Mustagfirin Fathullah Basri daripada kumpulan sama meraih Pelakon Lelaki Terbaik.
Rumy Amira Rosdi daripada Persatuan Seni Kreatif SIFAR Kuching pula dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi Gema Rajang.
Bagi kategori lakonan pembantu, Shahru Al-Aziza Bakri dan Tini Tyrani Adurahman, kedua-duanya daripada Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching, masing-masing menerima anugerah Pelakon Pembantu Lelaki dan Pelakon Pembantu Wanita menerusi Sumpah Darah Meranti.
Anugerah Pelakon Harapan Lelaki dimenangi Hector Hezekiel Ace menerusi Derau oleh Seniwara Arka, manakala Angelina Marcel menerima Anugerah Pelakon Harapan Wanita menerusi Aruna daripada i-Cats Thespian Arts.
Sementara itu, Derau oleh Seniwara Arka memenangi Sinografi Terbaik, Suara Rimba oleh Sanggar Silara menerima Anugerah Khas Juri, manakala Sumpah Darah Meranti dinobatkan sebagai Skrip Terbaik.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak, Noor Seela Noor Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak, Dr. Suffian Jalet, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Dr. Azizul Ismail serta Pengerusi Persatuan Anak Seni Sape’ Kuching (PUSAK), Elizabeth Bungan Peter.-EDISI UKAS