Miri Juara Keseluruhan Pesta PSKPP Sarawak Kali Ke-44
LIMBANG: Kontinjen Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) Bahagian Miri muncul juara keseluruhan Pesta PSKPP Sarawak Kali Ke-44 Tahun 2026.
Kontinjen PSKPP Bahagian Kuching menduduki tempat kedua, manakala PSKPP Bahagian Mukah di tempat ketiga.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata, pihaknya menghargai usaha yang ditunjukkan oleh tuan rumah dalam menjayakan pesta itu.
“Saya memberi penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Limbang dan Lawas, tidak mengecewakan dari segi pengelolaan. Saya boleh katakan pengelolaan kali ini sangat cemerlang,” katanya semasa berucap pada majlis penangguhan pesta tersebut, di sini, pada Ahad.
Menurut Omar, pesta tersebut bukan sahaja menjadi medan pertandingan, malah berperanan sebagai platform memperkukuh ukhuwah, memupuk semangat kekitaan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan warga pendidikan negeri ini.
Tambahnya, penyertaan dalam aktiviti sukan dan kebudayaan turut membantu membentuk sahsiah menerusi penerapan nilai disiplin, ketabahan, kepimpinan, integriti dan semangat tidak mudah berputus asa.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada peserta yang berjaya serta menggalakkan mereka yang belum mencapai kemenangan untuk terus berusaha meningkatkan prestasi pada masa akan datang.
Majlis turut menyaksikan penyerahan bendera PSKPP secara simbolik kepada Kapit sebagai tuan rumah Pesta PSKPP Sarawak kali Ke-45 akan datang.
Pesta tersebut melibatkan penyertaan 13 cawangan PSKPP dari seluruh Sarawak dengan kehadiran seramai 3,123 pegawai dan peserta.
Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Siti Mariam Salleh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Abang Adam Abang Deli, Pegawai Pendidikan Daerah Kapit Jarit Jarmit serta wakil Pegawai Pendidikan Daerah Lawas Waqiuddin Mohamed @ Chew Kuek Cheng.-EDISI UKAS