SIMANGGANG: Kebajikan golongan warga emas di negara ini terus dipelihara kerajaan dari semasa ke semasa menerusi pelbagai dasar dan inisiatif yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan golongan berkenaan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, usaha tersebut dibuktikan menerusi pewujudan Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) yang menjadi payung utama dalam menjaga kebajikan warga emas.
Menurut beliau, fungsi DWEN kini diperkukuh menerusi pelaksanaan PTWEN 2026–2030 yang memberi tumpuan kepada lima dimensi penuaan utama iaitu Penuaan Sihat, Penuaan Aktif, Penuaan Produktif, Penuaan Positif dan Penuaan Menyokong.
“Malah, usaha memelihara kebajikan kaum terbabit juga diteruskan dengan pembukaan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang berfungsi sebagai hab sokongan sosial terhadap golongan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau sempena sambutan Mid Autumn Festival anjuran Persatuan Hopoh Malaysia Cawangan Sri Aman, di sini pada Ahad.
Datuk Francis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang memberitahu, golongan warga emas perlu terus dihormati dan dihargai berdasarkan sumbangan besar, khazanah pengalaman serta pengetahuan yang telah mereka wariskan kepada generasi muda.
Katanya, keharmonian yang dinikmati hari ini merupakan hasil asas kukuh yang dibina generasi terdahulu, justeru nilai murni seperti menghormati orang tua tidak seharusnya luntur dalam mendepani arus pemodenan.
Pada majlis sama, Datuk Francis meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM30,000 kepada Persatuan Hopoh Malaysia Cawangan Sri Aman dan RM20,000 kepada Persatuan Hakka Sri Aman.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian angpau kepada ahli Hopoh berumur 70 tahun ke atas, simbolik memotong kek bagi meraikan dua ahli tertua berusia 93 dan 84 tahun yang masih sihat serta penyampaian insentif galakan kepada para pelajar. -EDISI UKAS