Kepimpinan Wanita Perlu Diperkasa Hadapi Cabaran Masa Depan
KUCHING: Sarawak memerlukan lebih ramai pemimpin wanita yang mempunyai keberanian, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab dalam menghadapi landskap kepimpinan yang semakin kompleks.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata kepimpinan masa kini bukan sekadar kemampuan membawa perubahan, tetapi turut memerlukan kebijaksanaan dalam menentukan perubahan yang penting serta keberanian membuat keputusan sukar.
Beliau berkata perkembangan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, perubahan iklim, perubahan demografi serta ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik menjadikan peranan pemimpin semakin mencabar.
“Kita memerlukan pemimpin yang bukan sahaja mampu memimpin perubahan, tetapi mempunyai keadilan, kebijaksanaan untuk mengetahui apakah perubahan yang penting, keberanian untuk membuat keputusan yang sukar dan tanggungjawab terhadap konsekuensi keputusan tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Sarawak Women of Tomorrow Woodcamp 2026 bertemakan “Leadership, Judgement in an Age of Complexity” di sini pada Isnin.
Jelasnya lagi, usaha memperkasakan wanita perlu melangkaui peningkatan penyertaan dalam tenaga kerja dengan memastikan mereka mendapat peluang, sokongan, pengalaman dan ruang untuk berkembang ke peringkat kepimpinan serta membuat keputusan.
Menurutnya, sokongan seperti penjagaan kanak-kanak, peluang kerja fleksibel, pembangunan kerjaya, bimbingan dan sokongan di tempat kerja penting bagi memastikan wanita dapat mengekalkan laluan kerjaya serta berkembang ke peringkat lebih tinggi.
Dalam masa sama, beliau menegaskan wanita perlu memainkan peranan lebih besar dalam bidang teknologi dan AI, bukan sekadar sebagai pengguna tetapi turut menjadi pencipta, penyelidik, pembuat dasar dan pembuat keputusan.
Ujarnya, kepimpinan memerlukan keadilan, akauntabiliti dan kesediaan memahami kesan setiap keputusan terhadap orang lain.
Sehubungan itu katanya, program seperti 'Sarawak Women of Tomorrow' penting dalam menyediakan ruang kepada wanita daripada pelbagai sektor untuk membina jaringan, bertukar pandangan, mencabar pemikiran serta memperkukuh keupayaan kepimpinan.
Hadir sama, Pengasas dan Pengerusi Women Leadership Foundation, Datuk Dr. Hafsah Hashim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Anuar Ismail, Pengasas dan Timbalan Pengerusi Women Leadership Foundation, Dato’ Hazimah Zainuddin, Datuk Zunaidah Idris serta Ketua Pegawai Eksekutif Women Leadership Foundation, Emylia Liyana Anwar.-EDISI UKAS