Jambatan Sejingkat Tingkat Akses Kuching-Samarahan, Jana Peluang Ekonomi Baharu
KUCHING: Pembukaan Jambatan Sejingkat bakal menjadi 'game changer' dalam meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan Kota Samarahan dan Kuching khususnya Sejingkat selain membuka lebih banyak peluang ekonomi di kawasan sekitarnya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata jambatan sepanjang 1.281 kilometer itu merupakan sebahagian daripada pembangunan infrastruktur 'Second Trunk Road' yang dirancang untuk memperkemas jaringan perhubungan jalan raya di Sarawak.
Menurut beliau, pembukaan jambatan berkenaan kepada orang awam mulai hari ini akan memudahkan pergerakan penduduk dari kedua-dua kawasan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada laluan sedia ada melalui Kota Samarahan dan Kuching.
“Ini adalah 'game changer' untuk masyarakat di kawasan ini kerana ia akan memudahkan perjalanan dari satu tempat ke satu tempat serta meningkatkan akses kepada kedua-dua kawasan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pra Perasmian Jambatan Sejingkat di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut beliau menambah, jambatan tersebut turut mempunyai reka bentuk unik dengan pylon berbentuk berlian (diamond-shaped pylon) yang disifatkan sebagai satu-satunya reka bentuk seumpamanya di Malaysia.
Katanya, projek berkenaan merupakan antara 21 jambatan utama yang dibangunkan Kerajaan Sarawak menggunakan dana kerajaan negeri, dengan 12 jambatan telah siap manakala empat lagi dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.
Menurut beliau, pembangunan jaringan jalan raya dan jambatan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh infrastruktur negeri serta mencapai aspirasi pembangunan menjelang 2030.
Katanya, apabila pakej DC3 siap pada hujung tahun depan, akses perhubungan dari Kota Samarahan ke kawasan Sadong, Sri Aman dan seterusnya ke Sibu akan menjadi lebih lancar.
“'Second Trunk Road' ini bertujuan memendekkan jarak perjalanan rakyat dari satu kawasan ke kawasan lain, selain membuka kawasan ekonomi baharu dengan adanya pembangunan infrastruktur,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan pembangunan infrastruktur Sarawak turut mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar, termasuk pembinaan jalan bertingkat sepanjang 11 kilometer di kawasan Batang Sadong bagi mengelakkan kerosakan kawasan gambut.
Jelasnya pendekatan itu selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk membangunkan infrastruktur bertaraf tinggi tanpa mengabaikan kelestarian alam sekitar.
Beliau menambah, pembangunan jalan raya dan jambatan yang menghubungkan kawasan luar bandar dengan rangkaian utama negeri juga penting bagi memastikan lebih banyak kampung mendapat akses perhubungan yang baik serta membuka peluang kepada masyarakat meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
Turut hadir Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Infrastruktur) Datuk Ir Aidel Lariwoo, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Prof. Ir. Ts. Dr. Cassidy Morris serta tetamu lain.-EDISI UKAS