SYstartUP Cungkil Bakat Digital, Kreativiti Belia Menerusi Pertandingan Video AI
MUKAH: Pertandingan Video AI Viral menerusi Program Komuniti Pemerkasaan Usaha Belia SYstartUP menjadi platform kepada golongan belia mengetengahkan kreativiti digital dan meneroka penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan kandungan inovatif.
Pertandingan itu menyaksikan Gen Z Maker muncul sebagai johan, diikuti Generasi Juara sebagai naib johan, manakala Alip Bata menduduki tempat ketiga.
Program berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan), Datuk Dr Ripin Lamat di Dataran Pehin Setia Raja, pada Ahad.
Penganjuran pertandingan tersebut memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan kreativiti dan kemahiran digital dalam menghasilkan kandungan menggunakan teknologi AI, sekali gus membuka ruang kepada penerokaan bidang inovasi dan keusahawanan.
Program SYstartUP turut menampilkan pelbagai aktiviti yang menyokong pembangunan potensi belia, termasuk Kem Belia Sarawak Wall Climbing.
Dalam program itu, Datuk Dr Ripin bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine turut melawat khemah aktiviti berkenaan bagi menyantuni peserta serta belia yang mengambil bahagian.
Penganjuran program tersebut mencerminkan usaha menyediakan platform komuniti yang menggabungkan kreativiti digital, inovasi dan keusahawanan bagi menggalakkan penglibatan belia dalam bidang yang berkembang seiring kemajuan teknologi.-EDISI UKAS