Regatta Krian Tarik 26 Pasukan, Pesta Saratok Rancakkan Ekonomi Setempat
SARATOK: Pesta Saratok 2026 berjaya merancakkan ekonomi penduduk setempat serta memperkukuh perpaduan masyarakat menerusi pelbagai pengisian program yang mendapat sambutan menggalakkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, Pesta Saratok 2026 berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam mengeratkan perpaduan masyarakat serta merancakkan ekonomi penduduk setempat.
“Saya menzahirkan rasa amat bangga dan gembira melihat sokongan padu daripada masyarakat Saratok terhadap setiap pengisian program yang diadakan.
“Kejayaan utama pesta ini adalah apabila setiap golongan masyarakat datang bersama-sama menyokong aktiviti, malah setakat ini tiada sebarang laporan mengenai kejadian tidak diingini berlaku, membuktikan semangat kerjasama dan kesepakatan yang amat tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Pesta Saratok 2026 di Khemah Utama, Tebingan Sungai Krian, di sini, pada Ahad.
Menurutnya, sokongan masyarakat daripada pelbagai lapisan terhadap aktiviti yang dianjurkan menjadi antara faktor kejayaan pesta tersebut.
Dalam pada itu, Friday berkata, limpahan ekonomi daripada penganjuran pesta turut dirasai peniaga kecil-kecilan yang menjual makanan dan kraf tangan.
Beliau turut menyifatkan penggunaan teknologi maklumat dan digital, termasuk siaran langsung, sebagai pendekatan yang membantu memperluas capaian program kepada masyarakat di luar Saratok.
Mengulas hala tuju pembangunan kawasan itu, beliau berkata, sektor pertanian dan ekopelancongan akan terus diberi perhatian selaras dengan saranan kerajaan.
Antara acara kemuncak Pesta Saratok 2026 ialah Regatta Krian yang menghimpunkan 26 pasukan dari beberapa daerah.
Pasukan Todak muncul juara kategori Bidar 30 Pengkayuh Lelaki untuk dinobatkan sebagai ‘Raja Sungai Krian’, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM16,500 pada perlumbaan akhir yang berlangsung di Tebingan Sungai Krian, pada Ahad.
Pasukan Lanun Dinara Cut meraih tempat kedua, manakala Landas Saga Sebuyo menduduki tempat ketiga dalam saingan yang berlangsung sengit hingga ke garisan penamat.
Pesta Saratok 2026 yang dihadiri kira-kira 1,000 orang itu turut diserikan dengan kehadiran ADUN Kalaka, Mohamad Duri, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas serta Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid.-EDISI UKAS