Kesepaduan GPS Jamin Kesinambungan Agenda Pembangunan Sarawak
JULAU: Kesepaduan empat parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu terus diperkukuh bagi menjamin kestabilan pentadbiran dan kesinambungan agenda pembangunan Sarawak demi kepentingan rakyat.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri John Sikie Tayai berkata, kekuatan GPS bergantung kepada komitmen bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan PRS dalam mendukung hala tuju kerajaan.
Menurut beliau, kesepakatan berterusan antara parti komponen penting bagi memastikan setiap dasar dan perancangan kerajaan dapat dilaksanakan secara teratur, berkesan serta memberi hasil yang dapat dirasai rakyat.
“Kesepakatan dalam gabungan perlu diteruskan melalui komitmen dan tindakan bersama supaya dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta hasil pembangunan dapat dirasai rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Solidariti GPS di Stadium Kompleks Sukan Julau, pada Ahad.
Dato Sri John Sikie berkata, hubungan erat antara parti komponen perlu terus dipelihara bagi mengekalkan kestabilan pentadbiran, selain memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan.
Katanya, keyakinan tersebut penting bagi memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif pembangunan dapat diteruskan mengikut keperluan masyarakat, termasuk di kawasan bandar dan luar bandar.
Beliau berkata, agenda pembangunan Sarawak terus memberi perhatian kepada sektor utama seperti pendidikan, kesihatan, keselamatan dan ekonomi bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Dalam konteks pembangunan setempat, beliau berkata kawasan Meluan turut menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif kerajaan, khususnya dalam memperluas kemudahan awam dan meningkatkan taraf hidup penduduk.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya terus memberikan sokongan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin bagi memastikan aspirasi penduduk serta keutamaan pembangunan kawasan berkenaan terus diberi perhatian.
Majlis tersebut turut menghimpunkan pemimpin, wakil dan penyokong parti komponen GPS, sekali gus memperlihatkan kesatuan serta komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama demi kemajuan Sarawak.-EDISI UKAS