Pemimpin Akar Umbi Perlu Perkukuh Peranan Sebagai Penghubung Kerajaan Dan Masyarakat
BINTULU: Peranan Ketua Kaum, Ketua Rumah dan Ketua Kampung amat penting dalam memastikan kepimpinan serta keharmonian masyarakat di peringkat akar umbi terus diperkukuh.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Pelabuhan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Datuk Majang Renggi berkata, setiap pemimpin masyarakat perlu memimpin secara adil, menjadi teladan kepada penduduk serta berusaha menyelesaikan sebarang perselisihan faham atau masalah kecil terlebih dahulu di peringkat kampung dan rumah panjang.
“Ketua Kaum adalah jambatan antara penduduk rumah panjang atau kampung dengan agensi-agensi kerajaan.
“Apa juga polisi, dasar baharu atau perkembangan kerajaan, Ketua Kaumlah yang perlu menyampaikan maklumat tersebut kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyerahan sijil pelantikan kepada seramai 20 Ketua Kaum di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samalaju di Pejabat Residen Bintulu pada Isnin.
Dalam pada itu, Datuk Majang menggalakkan Ketua Kaum memperkasakan jawatankuasa kecil atau biro di kawasan masing-masing, termasuk Biro Ekonomi dan Pembangunan, Biro Keselamatan, Biro Pendidikan serta Kebersihan.
Katanya, Biro Ekonomi dan Pembangunan boleh merancang aktiviti yang memberi manfaat serta meningkatkan pendapatan penduduk menerusi sektor pertanian, perniagaan dan aktiviti ekonomi lain.
Biro Keselamatan pula berperanan membantu memastikan keselamatan penduduk sentiasa terpelihara, manakala Biro Pendidikan dapat memberi tumpuan kepada aspek pendidikan dan latihan, khususnya dalam kalangan golongan muda.
Beliau turut menggalakkan penubuhan Biro Belia bagi memberi peluang kepada golongan muda mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan serta membantu memperkukuh hubungan dan semangat kekitaan dalam kalangan penduduk.
“Jika jawatankuasa ini dapat diwujudkan di setiap rumah panjang dan kampung, dalam tempoh enam bulan hingga setahun, banyak aktiviti dapat dilaksanakan untuk mengukuhkan hubungan serta semangat kekitaan dalam kalangan penduduk,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan Ketua Kaum supaya memastikan setiap biro menjalankan tanggungjawab masing-masing serta membentangkan perancangan dan aktiviti dalam mesyuarat yang diadakan.
Turut hadir, Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti.– EDISI UKAS