Ambil Kira Faktor Geografi Penempatan Perkhidmatan Kesihatan Sarawak
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa menilai semula pendekatan penempatan dan pengagihan tenaga kesihatan dengan mengambil kira faktor geografi serta keperluan sebenar sesuatu kawasan, bukan semata-mata berdasarkan jumlah populasi.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu berkata, cabaran penyampaian perkhidmatan kesihatan di Sarawak mempunyai banyak persamaan dengan Sabah, khususnya dari segi keluasan geografi, kekurangan tenaga pakar, infrastruktur serta kesukaran mendapatkan akses rawatan.
Menurut beliau, pendekatan pengagihan tenaga kesihatan perlu disesuaikan dengan keadaan dan keperluan kawasan bagi memastikan rakyat di pedalaman turut mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
Beliau berkata demikian ketika menyokong pembentangan Penyata DR. 30 Jawatankuasa Pilihan Kesihatan mengenai Lawatan Kerja ke Sabah berhubung Pengukuhan Penyampaian Perkhidmatan dan Fasiliti Kesihatan di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Dalam pada itu, Dato Dr. Richard berkata, kekurangan doktor pakar dan tenaga kesihatan di kawasan pedalaman termasuk Hulu Rejang, Hulu Baram, Betong, Sri Aman dan Lubok Antu masih menjadi cabaran yang perlu diberi perhatian serius.
Katanya, situasi di Betong misalnya menyaksikan daripada 15 doktor yang meninggalkan kawasan berkenaan, hanya tiga doktor baharu diterima sebagai pengganti, sekali gus menyebabkan kekurangan sebanyak 12 orang doktor.
Menyentuh mengenai desentralisasi pengurusan kesihatan dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau turut mempersoalkan ruang yang boleh diberikan kepada Kerajaan Sarawak untuk memainkan peranan lebih besar dalam perancangan, pengurusan dan pembangunan infrastruktur kesihatan.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi mengurangkan birokrasi di peringkat Persekutuan serta mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, khususnya di kawasan pedalaman.
Sehubungan itu, Dato Dr. Richard berharap syor-syor dalam penyata berkenaan diterjemahkan kepada tindakan nyata menerusi peruntukan dana, penempatan tenaga kesihatan yang mencukupi serta pelaksanaan projek yang bersesuaian dengan keperluan kawasan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS