Premier Sarawak Terima Kunjungan Hormat Setiausaha Jabatan Tenaga Filipina
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat Setiausaha Jabatan Tenaga Filipina, Sharon S Garin selepas Majlis Perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2026 (IDECS 2026) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Isnin.
Pertemuan tersebut bagi membincangkan perkembangan infrastruktur digital serta potensi kerjasama berkaitan sambungan kabel gentian optik antarabangsa yang menghubungkan Hong Kong dan Singapura dengan cabang ke Kuching
Hadir sama, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Ibrahim Baki, Pengerusi Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Converge, Dennis Anthony.
Ketika ditemui pemberita, Dennis memberitahu, syarikatnya telah membangunkan kabel antarabangsa sepanjang lebih 3,000 kilometer dari Hong Kong ke Singapura dengan cabang ke Filipina dan Thailand serta mempunyai unit percabangan di Kuching.
Menurutnya, inisiatif berkenaan dimulakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) bagi membangunkan pintu gerbang berkapasiti tinggi ke Singapura yang berperanan sebagai hab untuk menghubungkan Sarawak dengan rangkaian global.
Menurut beliau, pihaknya sudah mempunyai perjanjian untuk ditandatangani bagi pelaburan satu pasangan gentian yang menghubungkan Hong Kong ke Singapura dengan cabang ke Kuching.
"Jadi, ini merupakan pintu gerbang yang membolehkan anda mendapatkan akses.
"Ini dimulakan oleh SDEC dan kami sudah mempunyai perjanjian untuk ditandatangani di mana mereka akan melabur dalam satu pasangan gentian," katanya.
Tambah beliau, sambutan kabel gentian optik antarabangsa bakal menyokong keperluan sambungan digital susulan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dan pengembangan pusat data global
Ujarnya, pembangunan infrastruktur ini memerlukan kapasiti pengkomputeran serta sambungan digital berkapasiti tinggi. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie