Pengurusan Pelarian Perlu Seimbang Aspek Keselamatan, Kedaulatan Dan Hak Asasi
KUALA LUMPUR: Pengurusan pelarian di Malaysia perlu dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira aspek keselamatan negara, kedaulatan undang-undang, hak asasi manusia serta kepentingan negeri.
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, isu pelarian bukan sekadar berkaitan imigresen, malah turut melibatkan aspek kesihatan, pendidikan, pasaran pekerjaan, hubungan antarabangsa serta hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Menurut beliau, pendekatan yang tegas, terbuka dan terkawal perlu diwujudkan bagi memastikan golongan yang benar-benar memerlukan perlindungan terus dibela tanpa menjejaskan keselamatan negara.
“Kita tidak boleh melihat pelarian hanya sebagai mangsa, tetapi kita juga tidak boleh melihat mereka semata-mata sebagai ancaman.
“Apa yang kita perlu lakukan adalah satu sistem yang berperikemanusiaan—tegas, terbuka tetapi terkawal, dan mampu melindungi manusia tanpa mengorbankan keselamatan negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Penyata DR. 21 Tahun 2026 mengenai Pengurusan Pelarian di Malaysia daripada Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Dalam pada itu, Datuk Willie menyambut baik pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang bermula 1 Januari 2026, selain menekankan keperluan mewujudkan pangkalan data nasional bersepadu.
Katanya, pangkalan data tersebut perlu merangkumi maklumat biometrik, identiti, kewarganegaraan, lokasi, status permohonan perlindungan, pekerjaan, pendidikan serta status penempatan semula atau penghantaran pulang.
Beliau turut menegaskan kepentingan membezakan status pelarian, pencari suaka, migran ekonomi, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pemegang kad UNHCR melalui Proses Penentuan Status Pelarian (PSP) yang jelas dan teratur.
Menyentuh kedudukan Sabah dan Sarawak, beliau menegaskan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar catatan sejarah, sebaliknya merupakan sebahagian daripada kerangka Malaysia pada masa kini.
“Bagi Sabah dan Sarawak, pendirian yang jelas ialah MA63 bukan sekadar sejarah, MA63 adalah sebahagian daripada kerangka Malaysia hari ini.
“Oleh itu, pengurusan pelarian yang baik mestilah berasaskan data, undang-undang, keselamatan, kemanusiaan, akauntabiliti dan federalisme yang menghormati hak serta kedudukan negeri,” jelas beliau.
Sehubungan itu, Datuk Willie berharap penyata berkenaan tidak berakhir sebagai dokumen semata-mata, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan nyata menerusi garis masa yang jelas, peruntukan mencukupi serta mekanisme pelaporan berkala kepada Parlimen.-EDISI UKAS