Sarawak Cipta Nilai Ekonomi Baharu Menerusi Teknologi, Sumber Asli
KUCHING: Sarawak memanfaatkan kekuatan sumber asli dengan menggabungkannya bersama teknologi, pengetahuan dan kejuruteraan bagi mencipta nilai ekonomi lebih tinggi serta memperkukuh daya saing negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sumber asli akan kekal sebagai antara kekuatan utama ekonomi Sarawak, namun peluang lebih besar terletak pada keupayaan negeri menggabungkan sumber tersebut dengan teknologi dan kepakaran.
Menurut beliau, Sarawak kini mempunyai beberapa kelebihan strategik termasuk sumber tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur digital yang semakin berkembang, universiti, institusi penyelidikan serta asas perindustrian yang kukuh.
“Ini juga memberikan makna praktikal kepada idea ekonomi tanpa sempadan.
“Kesalinghubungan yang lebih besar bukan hanya bermakna akses kepada teknologi, produk dan perkhidmatan yang dibangunkan di tempat lain, tetapi turut membolehkan Sarawak menyumbang produk, kepakaran dan inovasi sendiri kepada dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Isnin.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, kekuatan tersebut perlu digabungkan secara lebih berkesan supaya teknologi bukan sahaja memacu pertumbuhan industri baharu, malah meningkatkan produktiviti dan penciptaan nilai merentasi sektor ekonomi.
Jelas beliau, pendekatan berkenaan akan membolehkan Sarawak mengambil bahagian secara lebih aktif dalam ruang ekonomi yang lebih luas dengan membangunkan keupayaan sendiri serta menghubungkannya dengan pasaran global.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS