KUCHING: Sarawak bakal menjadi tuan rumah World Innovation, Technology and Services Alliance (WITSA) Global AI Summit 2027 di Kuching sekali gus menghimpunkan pemimpin industri teknologi, kerajaan dan ekosistem inovasi dari seluruh dunia.
Sidang kemuncak berkenaan akan diadakan bersempena penganjuran Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2027.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penganjuran itu akan terus memperkukuh hubungan Sarawak dengan rangkaian teknologi dan kecerdasan buatan (AI) di peringkat global.
“Sidang Kemuncak WITSA yang kedua memperkukuh kerjasama Sarawak dengan WITSA menerusi Rangkaian Ekosistem AI Globalnya, yang menghubungkan ekosistem AI kita yang sedang berkembang dengan rakan kongsi antarabangsa dalam bidang teknologi, pelaburan, penyelidikan dan dasar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Isnin.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, WITSA Global AI Summit 2027 turut akan membawa beberapa platform antarabangsa ke Sarawak, termasuk WITSA Global AI Awards, WITSA World Cup bagi Zohari Challenge Trophy untuk kali kedua serta pelancaran edisi kedua WITSA Global AI Index.
Jelas beliau, indeks berkenaan akan menyediakan gambaran terkini berasaskan bukti mengenai perkembangan ekosistem AI di seluruh dunia, merangkumi aspek infrastruktur, bakat, keusahawanan, kes penggunaan, data, dasar dan pelaburan.
Penganjuran sidang kemuncak itu juga bakal menyediakan ruang kepada Sarawak untuk memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dalam pembangunan AI, selain menghubungkan ekosistem teknologi negeri dengan pemain industri, penyelidik, pelabur dan pembuat dasar dari pelbagai negara.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, ketua-ketua jabatan serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS