Sarawak Lancar SCSR 2030, Perkukuh Keselamatan Ekosistem Digital
KUCHING: Sarawak melancarkan Strategi dan Pelan Hala Tuju Keselamatan Siber Sarawak (SCSR) 2030, strategi keselamatan siber menyeluruh pertama negeri bagi memperkukuh keselamatan dan daya tahan ekosistem digital yang semakin berkembang.
Pelancaran strategi berkenaan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Isnin.
Dibangunkan oleh Sarawak Multimedia Authority (SMA), SCSR 2030 membawa visi “A Secure and Trusted Foundation for Sarawak’s Digital Economy” dengan menyediakan hala tuju strategik bagi memperkukuh keselamatan, daya tahan dan kepercayaan terhadap ekosistem digital negeri.
Pelan lima tahun itu merangkumi 18 inisiatif strategik yang digerakkan menerusi lima tonggak utama, iaitu melindungi aset maklumat strategik Sarawak, melindungi masyarakat, perniagaan dan komuniti, membangunkan bakat serta meningkatkan kapasiti, memperkukuh tadbir urus dan kerangka operasi serta memperluas kerjasama strategik.
Pelaksanaan SCSR 2030 turut menggabungkan peranan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan negeri, pengendali infrastruktur kritikal, sektor perniagaan, akademia dan komuniti menerusi pendekatan menyeluruh bagi membina ekosistem digital Sarawak yang lebih selamat dan berdaya tahan.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Menteri Kabinet Sarawak, Pengurus Besar SMA, Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng serta Timbalan Pengurus Besar SMA, Ts. Dr Suhaila Jaffar. -EDISI UKAS