Kerjasama Strategik Pacu Manfaat Teknologi Kepada Ekonomi Sarawak
KUCHING: Sarawak menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi penyelidikan bagi memastikan perkembangan teknologi dapat memberi manfaat kepada ekonomi negeri.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, hubungan lebih erat antara kerajaan, industri, universiti, penyelidik, pelabur dan usahawan penting bagi menghubungkan hasil penyelidikan dengan keperluan industri serta pasaran.
“Membina keupayaan sahaja tidak mencukupi. Jika penyelidikan kekal di makmal, jika inovasi terhenti pada peringkat prototaip, atau jika teknologi diguna pakai tanpa menyelesaikan masalah ekonomi atau sosial yang sebenar, maka kita belum merealisasikan nilai sepenuhnya.
“Kita memerlukan laluan yang lebih kukuh daripada penyelidikan kepada aplikasi, daripada inovasi kepada pengkomersialan, dan daripada keupayaan kepada industri. Hal ini memerlukan hubungan yang lebih erat antara kerajaan, industri, universiti, penyelidik, pelabur dan usahawan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Isnin.
Dato Sri Julaihi berkata kerajaan berperanan menyediakan infrastruktur, dasar dan persekitaran kawal selia yang membolehkan inovasi berkembang, selain memperkukuh bakat, keupayaan dan platform kerjasama.
Katanya, industri perlu membawa pelaburan dan pengetahuan pasaran, manakala universiti serta institusi penyelidikan perlu membangunkan pengetahuan dan harta intelek yang mempunyai potensi komersial.
Beliau berkata, pendekatan itu penting selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk membangunkan ekonomi Sarawak yang lebih berdaya saing, inklusif dan mampan.
Dalam pada itu ujarnya, Sarawak kini turut membangunkan keupayaan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, kesalinghubungan maju, infrastruktur pintar, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi angkasa sebagai antara bidang yang berpotensi mencipta nilai ekonomi baharu.
Beliau berkata kejayaan transformasi digital perlu diukur berdasarkan keupayaannya meningkatkan daya saing syarikat, membangunkan kepakaran tempatan, menarik pelaburan bernilai tinggi serta mewujudkan peluang ekonomi kepada rakyat.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta dif jemoutan lain.-EDISI UKAS