Sistem eLASIS Sarawak Bukti Kecekapan Pentadbiran Tanah
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem eLASIS sejak 2009 membuktikan keupayaan Sarawak dalam mempertingkatkan kecekapan pentadbiran tanah termasuk menyelesaikan transaksi pemilikan tanah dalam tempoh satu hari.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata sistem berkenaan bukan sahaja melibatkan urusan pemilikan tanah, malah merangkumi kira-kira 67 jenis transaksi termasuk kaveat, cagaran dan subpajakan.
“Di Sarawak, transaksi pemilikan tanah dalam tempoh satu hari telah kita laksanakan sejak 2009.
“Sistem kita juga bukan hanya melibatkan pemilikan tanah tetapi merangkumi kira-kira 67 jenis transaksi termasuk kaveat, cagaran dan subpajakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-83 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen Malaysia pada Isnin.
Beliau menghadiri mesyuarat tersebut bagi mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Mengulas lanjut, Datuk Amar Awang Tengah berkata sistem yang dibangunkan Sarawak turut mendapat perhatian dalam mesyuarat tersebut dan negeri ini bersedia berkongsi pengalaman serta kepakaran dengan Kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak turut memainkan peranan penting dalam membantu Malaysia mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan negara sebagai kawasan berhutan dengan kira-kira 62 peratus kawasan Sarawak masih diliputi hutan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Sarawak dan Sabah diberikan insentif sewajarnya termasuk menerusi mekanisme Ecological Fiscal Transfer (EFT) bagi menyokong usaha kedua-dua negeri memelihara kawasan hutan.
Beliau turut memaklumkan Sarawak telah menanam kira-kira 67 juta pokok menerusi Program Penghijauan Malaysia dan akan meneruskan usaha tersebut sehingga 2030 dengan sasaran baharu penanaman 50 juta pokok.-EDISI UKAS