Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain 9 Oktober Ini Perkukuh Keharmonian Sarawak
KUCHING: Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain yang dijadual berlangsung pada 9 Oktober ini bakal menjadi platform mempertemukan masyarakat daripada pelbagai agama sekali gus memperkukuh perpaduan dan keharmonian di Sarawak.
Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain itu dijadual bermula pada jam 8 malam dan akan menjadi antara pengisian sempena sambutan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Dato’ Georgina Apphia Ngau berkata, majlis yang berlangsung di Kompleks UNIFOR, Kuching itu diadakan sempena Sambutan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak 2026.
Menurut beliau, penglibatan pelbagai komuniti agama dalam majlis berkenaan bukan sahaja menzahirkan rasa kesyukuran, malah memberi peluang kepada masyarakat untuk saling mengenali dan memahami antara satu sama lain.
Beliau berkata, usaha memperkukuh perpaduan perlu terus diberi perhatian seiring dengan pembangunan fizikal dan digital yang sedang dilaksanakan di Sarawak.
“Dalam kita berusaha memajukan Sarawak dengan melaksanakan pelbagai bentuk pembangunan, sama ada fizikal, digital dan sebagainya, kita mesti juga terus menjaga perpaduan di negeri kita.
“Kerana kalau kita tidak bersatu padu, kalau negeri kita tidak aman, kita tak boleh melakukan semua perkara-perkara yang telah diperkenalkan oleh Premier Sarawak dan Kerajaan Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS di sini pada Isnin mengenai penganjuran Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain sempena Sambutan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak 2026.
Dato’ Georgina turut menegaskan bahawa pendekatan tersebut mencerminkan keunikan Sarawak yang membolehkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang agama dan budaya hidup bersama tanpa jurang.
Dalam pada itu, UNIFOR turut memperkukuh hubungan antara komuniti agama menerusi pelbagai inisiatif termasuk program Friendly Houses of Worship yang menghimpunkan masyarakat pelbagai agama dalam suasana lebih dekat dan santai.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira dan Nur Marisa
Foto: Rais Sanusi